Hmm...sebetulnya minggu lalu saya, Tuan Azren dan Tuan Bakery telah ke Pasir Putih, Kelantan. Turut serta ialah seorang anak saya, Izzat.
Kami bertolak sekitar jam 9:00 malam hari Jumaat dan tiba di Gua Musang sekitar jam 1:30 pagi. Setelah mengosongkan kantung masing-masing, kami minum di premis berdekatan stesen Shell. Kemudian, kami tidur sebentar di perkarangan masjid Gua Musang. Sekitar jam 5:00 pagi, kami bergerak semula menuju ke Pasir Putih dan tiba sekitar jam 7:30 pagi.
Kami bersarapan di Restoran Bambu berhadapan dengan Masjid Pasir Putih. Sesudah itu, kami menelefon Cikgu Zunaidi, pemilik Gaharu Nano Tech Marketing. Sementara menunggu kedatangan Cikgu Zunaidi, kami berehat di perkarangan Masjid Pasir Putih. Sempatlah untuk kami membersihkan diri.
Setelah Cikgu Zunaidi tiba, kami bergerak ke Machang untuk melihat salah satu ladang gaharu milik Cikgu Zunaidi. Kemudian, kami bergerak ke Tok Bok untuk bertemu dengan sepasang suami-isteri yang datang dari Tampin. Kehadiran mereka adalah untuk bertemu dengan Cikgu Zunaidi dan membincangkan usul untuk menyuntik poko karas milik mereka sebanyak 5000 pokok.
Dari situ, kami bergerak berkumpulan ke sebuah lagi ladang gaharu Cikgu Zunaidi di Pasir Putih. Di sini, Cikgu Zunaidi telah memotong sebatang pokok karas kecil yang telah disuntik untuk menunjukkan perkembangan akibat suntikan itu. Nyata telah ada tanda-tanda penghasilan gaharu.
Cikgu Zunaidi mengetuai rombongan melawat ladang gaharu beliau. |
Tuan Bakery merenung jauh... |
Izzat tersengih dapat masuk hutan... |
Cikgu Zunaidi sedang memotong pokok karas yang telah ditebang |
Kelihatan tanda-tanda hitam kehadiran gaharu |
Keratan lintang menunjukkan tanda-tanda kehadiran gaharu |
Dari ladang, kami bergerak keluar. Di simpang tiga, kami berpisah dengan pasangan suami-isteri tersebut dan menuju ke sebuah restoran di pinggir jalan Kota-Bahru - Kuala Krai untuk makan tengahari. Sambil makan, sambil berbual. Berbagai topik kami bincangkan. Banyak juga ilmu baharu yang dapat ditimba.
Selesai makan tengahari, kami menuju ke Wakaf Che Yeh sementara Cikgu Zunaidi menuju ke Kuala Terengganu untuk mengambil anaknya. Shah Palace Inn; itulah tempat yang kami tuju senagai tempat untuk berehat malam nanti. Banglo yang dijadikan 'inn' ini adalah kepunyaan seorang rakan. Fuh! Besarnya banglo ni. Ada lapan bilik disediakan dalam berbagai kategori; presidential suite, family suite dan sebagainya.
Malam itu, kami ke pasar malam Wakaf Che Yeh. Selepas menjamu selera, kami melilau berpusing-pusing ke sekitar pasar malam sebelum kembali ke banglo untuk menunggu kedatangan Cikgu Zunaidi. Janjinya siang tadi, dia akan datang untuk perbincangan lanjutan. Malangnya, Cikgu Zunaidi tidak dapat hadir kerana beliau lewat pulang dari Kuala Terengganu.
Esoknya, hari minggu, awal-awal lagi kami telah bertolak untuk pulang. Di perjalanan, kami singgah di Kok Lanas untuk membeli keropok losong dan bersarapan pagi. Perjalanan pulang kami diiringi dengan hujan yang berterusan. Hingga melepasi Gua Musang hujan masih turun; sekejap lebat, sekejap renyai. Sekitar jam 2:00 petang, kami tiba di Bandar Kuala Lipis untuk berehat dan makan tengahari. Jam 3:00 petang, kami bergerak semula menuju ke Kuala Lumpur dan tiba sekitar jam 5:30 petang.
Hah! Penatnya! Esok kerja pulak........zzzZZZ.
Wassalam.
Salam,
ReplyDeleteBagaimana perkembangan projek dengan cikgu zunaidi? call me 010-5108132