...

LAZADA

Lazada Malaysia

Wednesday 30 December 2015

Diari Tebangan Karas - 30122015

Tarikh tebangan: 30122015

Jumlah tebangan: 1 batang pokok karas ( Plot FM )

Lokasi projek: Sg Lopoh

Inokulan gaharu: Inokulan Abg Mat Siam

Usia inokulasi: 1 tahun 2 bulan ( 25 Oktober 2014 )

Nota: Pokok terpaksa ditebang setelah tumbang ke tanah dan dihurung semut serta anai-anai.

Saturday 26 December 2015

Spesis Karas



Thursday 24 December 2015

Penyediaan Media Kultur Mikrob

Bahan:

Media kultur
Mikrob

Kaedah:

Masukkan mikrob ke dalam media kultur dan tutup rapat-rapat. Simpan di bawah cahaya lampu kalimantang sekurang-kurangnya 12 jam sehari.

Mikrob akan matang dalam tempoh 3 - 7 hari.



Pembiakan kultur kulat
 
Preparation of Microbial Culture Media
 
Ingredients:
 
Culture media
Microbes
 
Method:
 
Add microbes to culture media and capped tightly. Place under grow light for at least 12 hours a day.
 
Microbes should propagate in 3 - 7 days.
 
  

Tuesday 22 December 2015

Synsepalum Dulcificum

Salamwarahmatullah,
 
Pokok ajaib saya baru berbuah sebiji...alhamdulillah. Insya-Allah putiknya yang banyak akan membesar menjadi buah-buah yang segar dan berkhasiat.
 
Menurut Abg Mat Siam, ada seorang warga kampung di tempat beliau memakan buah ajaib ini secara berterusan dan kini sudah bebas dari gejala penyakit kencing manis yang beliau hadapi. Alhamdulillah syukrillah.
 

2 keratan anak pokok ajaib di bawah ini pula telah diambil di Sg Lopoh 2 hari lepas dan sedang dibiakkan. Mudah-mudahan ia akan membesar dengan baik.


Wassalam.



Penyediaan Media Kultur

Bahan:

1 liter air kelapa muda - ( sebaiknya gunakan kelapa muda yang masih berlendir )
10 gram gelatin atau agar-agar

Kaedah:

Panaskan air kelapa muda dengan gelatin atau agar-agar menggunakan api sederhana hingga gelatin atau agar-agar larut. Angkat dari api dan sejukkan sebentar.

Tuangkan ke dalam botol yang telah disterilkan dan tutup rapat-rapat. Sejukkan sepenuhnya.

Media kultur sedia untuk digunakan.

Nota:

Media kultur ini bagus digunakan untuk pembiakan tisu orkid. Bagi pembiakan kulat, sebaiknya gantikan air kelapa dengan kentang.


 
+
 atau       

=



Preparation of Culture Media

Ingredients:

1 liter of young coconut water - ( very, very young )
10 grams gelatin or agar

Methods:

Heat young coconut water and gelatin using medium heat until gelatin dissolve. Remove from heat and let's cool a little bit.

Pour into sterilized bottle and capped tightly. Let's cool completely.

Your culture media is ready for use.

Note:

This culture media is suitable for propagation of orchid. For propagation of fungi, replace young coconut water with mixture made from potato. 


Sunday 20 December 2015

Annona Cherimoya

Salamwarahmatullah,

Hari ini, Ahmad, telah menanam 2 batang pokok Annona Cherimoya di Sg Lopoh.



Annona Cherimoya adalah dari keluarga durian Belanda. Buahnya berbentuk seperti buah nona namun kulitnya lebih licin dan tidak berduri seperti durian Belanda serta tidak berketul-ketul seperti buah nona yang biasa kita dapati di Malaysia. Saiz buahnya lebih kecil daripada durian Belanda tetapi tekstur isinya adalah sama.

Informasi yang lebih lengkap boleh didapati di sini, sini dan sini. Manfaat Cherimoya boleh dilihat di video ini.
 

 




 
Kandungan nutrisi Cherimoya menurut www.nutrition-and-you.com adalah seperti berikut:
 
Health benefits of cherimoya
  • Very sweet and pleasant flavor annonas contain an impressive list of essential nutrients, vitamins, anti-oxidants and minerals.
  • The fruit has calories equivalent to that of mangoes. 100 g of fresh fruit pulp provide about 75 calories. It however, contain no saturated fats or cholesterol. The fruit characteristically is a good source of soluble dietary fiber (3 g% or 8% of RDA) which helps lower absorption of cholesterol in the gut. The fiber also helps protect the mucousa of the colon from exposure to toxic substances by binding cancer-causing chemicals to it.
  • Cherimoya contains several poly-phenolic antioxidants. Among them, the most prominent in annona family fruits are Annonaceous acetogenins. Acetogenin compounds such as asimicin, bullatacinare...etc are powerful cytotoxins and have been found to have anti-cancer, anti-malarial, and anti-helminthes properties.
  • It is very good in vitamin-C. Vitamin C is a powerful natural antioxidant. Consumption of fruits rich in vitamin C helps the human body develop resistance against infectious agents and scavenge harmful, pro-inflammatory free radicals from the body.
  • In addition, cherimoya fruit is a good source of B-complex vitamins, especially vitamin B-6 (pyridoxine). 100 g fresh fruit provides 0.257 mg or 20% of daily-recommended levels. Pyridoxine helps keep-up GABA neuro chemical in the brain. High GABA levels calm down nervous irritability, tension, and headache ailments.
  • Further, it has a well balanced sodium-potassium ratio. A good potassium level in the body helps control heart rate and blood pressure, and thus, counters bad influences of sodium. It also contains more minerals weight per weight than many common fruits like apples, being rich in copper, magnesium, iron and manganese.
Mudah-mudahan pokok Annona Cherimoya ini akan tumbuh dengan baik hingga dapat menghasilkan buah yang manis dan berkhasiat. Sekiranya tanaman pertama ini berjaya, mungkin ia akan dapat dikembangkan menjadi tanaman pertanian yang berpotensi besar.

Wassalam.


Diari Inokulasi Karas - 20122015

Tarikh inokulasi: 20 Disember 2015

Jumlah inokulasi: 2 batang karas ( Plot FM )

Lokasi projek: Sg Lopoh
 
Teknik inokulasi: Kayu minyak

Inokulan gaharu:  Bio-Inokulan GGM



Saturday 19 December 2015

Diari 1912205: Teknik Inokulasi Pokok Karas & Penghasilan Teras Gaharu

Terdapat 3 teknik inokulasi yang digunapakai bagi memaksimumkan penghasilan gaharu:

1. Teknik Penghasilan Teras Tengah


  • Saiz lubang : 12mm - 18mm
  • Jarak vertikal: 1' 6" - 2' 6"
  • Jarak horizontal: Bertentangan di kiri dan kanan pokok
  • Kuantiti inokulum: 50ml - 250ml

  • Pastikan lubang inokulasi ditutup rapat selepas diinokulasi
  • Tidak digalakkan pada musim hujan kerana jumlah serapan air yang tinggi boleh menyebabkan pereputan berlaku

2. Teknik Penghasilan Teras Kapit @ Semut


  • Saiz lubang: 2mm - 4mm
  • Jarak vertikal: 3" - 4"
  • Jarak horizontal: 3" - 4"
  •  Kuantiti inokulum: 5ml - 10ml

  • Pastikan lubang inokulasi ditutup rapat selepas diinokulasi
  • Tidak digalakkan pada musim hujan kerana jumlah serapan air yang tinggi boleh menyebabkan pereputan berlaku

3. Teknik Penghasilan Kayu Minyak

 

  • Koyakkan dan buang kulit di bahagian pokok yang hendak diinokulasi
  • Takik dengan parang secara rata ATAU gunakan paku sisik ikan untuk melukakan bahagian pokok
  • Sapukan inokulum secukupnya
  • Balut dengan 'wrapping plastic' pada bahagian yang telah dikoyak dan disapukan inokulum

Bagi memaksimakan penghasilan gaharu, adalah disarankan supaya melakukan ketiga-tiga teknik dengan teknik 1 dan 2 dilakukan serentak manakala teknik 3 dilakukan 3 bulan sebelum dituai.

Friday 18 December 2015

Diari 17122015: Seminar Pembuatan Inokulum & Teknik Inokulasi

 
Salamwarahmatullah,

Khamis 17 Disember 2015, selesailah sudah Seminar Pembuatan Inokulum & Teknik Inokulasi, yang telah bermula pada Rabu 16hb Disember 2015 bertempat di Terengganu Inc, Taman Industri Chendering, Kuala Terengganu,

Seminar selama 2 hari itu telah dianjurkan secara bersama oleh Golden Pharos Berhad, Terengganu Inc, Universiti Malaysia Terengganu dan Wafiqah Industries Sdn Bhd.

Seminar telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Adawi, CEO Golden Pharos Berhad. Antara pembentang kertas kerja adalah Dr Baharuddin Salleh, pakar Fusarium dan pemilik arkib Fusarium terbesar di Asia, Puan Yusmaharnita dari Universiti Malaysia Terengganu dan Tuan Haji Faizul Anuar dari Wafiqah Industries Sdn Bhd.

Tujuan seminar adalah untuk memberi pendedahan kepada pengusaha-pengusaha kecil gaharu di Terengganu kepada kaedah penghasilan inokulum dan teknik inokulasi yang betul supaya dengan itu pengusaha-pengusaha kecil gaharu akan dapat menghasilkan kayu gaharu secara lebih cost-effective dan cost-efficient lantas merancakkan lagi industri gaharu di negeri Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya.

Dr Baharuddin Salleh telah memberikan penerangan panjang lebar dan terperinci berkenaan konsep inokulum dan kegunaanya dalam bidang pertanian. Sessi seterusnya oleh Puan Yusmaharnita yang menerangkan teknik asas penyadiaan inokulum. Sessi yang ditunggu-tunggu oleh setiap peserta akhirnya menjadi kenyataan pada jam 2.30 petang apabila Tuan Haji Faizul Anuar mara ke hadapan para peserta.

Tuan Haji Faizul telah menerangkan beberapa teknik yang digunapakai dalam penghasilan gaharu dan bagaimana ianya mempengaruhi hasil gaharu. Antara teknik yang dibentang adalah teknik penghasilan teras tengah, teknik penghasilan teras kapit atau semut dan teknik penghasilan kayu minyak. Setiap teknik mempunyai kelebihannya sendiri dan impak tersendiri kepada para pengusaha gaharu.

Akhirnya, resipi penghasilan inokulum telah dikongsikan oleh Tuan Haji Faizul dan menjadi dewan seminar riuh-rendah dengan bermacam soalan yang datang bertubi-tubi dari segenap arah. Semua para peserta begitu bersemangat untuk mempelajari resipi tersebut.

Namun, keriuhan itu akhirnya sepi apabila seminar ditamatkan pada jam 5.00 petang.

Hari kedua bermula dengan sarapan pagi dan kemudiannnya bergerak secara konvoi ke lapangan untuk demonstrasi inokulasi pokok karas. Suasana begitu meriah dengan pelbagai pertanyaan dari para peserta. Setiap teknik inokulasi yang telah diterangkan secara teori pada hari semalamnya, kini dipertunjukkan secara praktikal.

Seminar secara rasminya ditamatkan pada jam 1.00 tengahari selepas makan tengahari dihidangkan.

Secara keseluruhannya, seminar ini berjaya membuka mata para peserta perihal apakah bahan asas yang terdapat di dalam inokulum yang dipasarkan di pasaran tempatan dan menghilangkan tanda soal yang sering bermain di fikiran mereka selama ini. Sungguhpun hampir 50 orang peserta telah mempelajari resipi inokulum dan teknik penghasilannya, saya percaya hanya beberapa orang sahaja yang akan benar-benar mempraktikkan apa yang mereka pelajari. Seperti orang mempelajari resipi dan teknik pembuatan roti canai, walaupun nampaknya mudah tetapi yang benar-benar berani untuk mempraktikkannya hanya beberapa orang sahaja.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Golden Pharos Berhad, Terengganu Inc, Universiti Malaysia Terengganu dan Wafiqah Industries Sdn Bhd atas usaha murni ini. Diharapkan agar seminar seumpama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan dikembangkan ke luar negeri Terengganu.

Para peserta Seminar Pembuatan Inokulum & Teknik Inokulasi bergambar ramai setelah tamat demonstrasi inokulasi pokok karas.


Syabas! Insya-Allah kita jumpa  lagi di seminar yang akan datang.

Wassalam.



Monday 7 December 2015

Program Santai Gaharu Pada 12 Disember 2015

Salamwarahmatullah,

Sekadar berkongsi berita dari blog GaharuInfo. Kepada sesiapa yang berkesempatan dan berkelapangan, silalah hadirkan diri ke lokasi seperti yang tertera di bawah.


Wassalam.



Tuesday 13 October 2015

Bertemu Abg Mat Siam Sekali Lagi

Salamwarahmatullah,

Sebagai lanjutan daripada lawatan ke ladang cendawan M Mushroon Farm kira-kira seminggu yang lalu, pada hari Ahad lepas saya telah berkunjung ke rumah Abg Mat Siam sekali lagi. Bersama-sama saya ialah En Malik dan Sdra ZulBakar.

Seperti yang telah dijanjikan lebih awal, kami sampai 3 minit selepas jam 10 pagi. Ketika kami sampai, Abg Mat Siam tiada di rumah, hanya isterinya berada di luar rumah sedang membersihkan pokok bunga ros beliau daripada tumbuhan menjalar. Kata beliau, Abg Mat Siam pergi ke Sg Ruan.

Sementara menunggu, kami berpusing-pusing di sekitar rumah Abg Mat Siam melihat projek fertigasi cili beliau. Subur-subur dan besar-besar serta panjang-panjang buah cili Abg Mat Siam. Jangkaan saya kebanyakan daripada cili beliau adalah sekitar 7 - 8 inci panjang. ZulBakar yang pertama kali berkunjung begitu terpesona melihat buah-buah cili yang berjuntaian di setiap pokok. Tak putus-putus beliau menggeleng-gelengkan kepala tanda terpesona. Entah berapa banyak gambar cili yang diambilnya.

Cili Kulai - imej ihsan Google


Terdapat juga projek fertigasi rock melon yang telah tamat tempoh penanamannya. Hanya tinggal pokok yang tua serta buah-buah rock melon yang kecil dan tidak berkualiti menanti saat untuk dibersihkan.

Sekitar jam 10.50 pagi, Abg Mat Siam pun kembali. Setelah bersalaman dan bertanya khabar, kami terus sahaja kepada tujuan utama kami berkunjung. Iaitu untuk mempelajari perihal tanaman cendawan tiram kelabu. Abg Mat Siam membawa kami ke rumah cendawan beliau yang terletak di bahagian belakang rumah. Beliau menerangkan segala aspek berkaitan tanaman cendawan tiram kelabu di samping menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada kedua-dua orang teman saya.

Cendawan tiram kelabu - imej ihsan Google


Setengah jam berlalu, kami berpindah ke hadapan rumah. Di bawah pondok, kelihatan beg-beg baja AB sedia untuk diedarkan. Menurut Abg Mat Siam, baja-baja tersebut diadun oleh beliau sendiri dan akan diedarkan kepada Institut Latihan Pertanian Kuala Lipis. Abg Mat Siam juga tidak lokek berkongsi formula baja AB tersebut.

Perbincangan kemudian beralih pula ke meja bulat di beranda. Teh tarik sedia menanti kami. Macam-macam nasihat Abg Mat Siam berikan kiranya kami berhajat untuk menanam cendawan tiram kelabu. Berbagai tips beliau ujarkan. Memang seronok berbincang dengan Abg Mat Siam.

Perkhabaran yang menarik perhatian saya adalah pertandingan cecair kawalan serangga di antara Ory-X dan Brogard ciptaan Abg Mat Siam yang telah diadakan di Sg Burung beberapa minggu sebelumnya. Dan, Brogard telah memenangi pertandingan itu. Hasilnya, Jabatan Pertanian akan menggunakan Brogard sebagai cecair kawalan serangga yang utama. Tahniah Abg Mat Siam!

Cecair kawalan serangga BROGARD - imej ihsan Google


Selepas air habis dihirup, datang pula juadah tengahari. Abg Mat Siam memang macam tu. Kalau saya ke rumah beliau, pasti ada jamuan disediakan. Kalau saya berkunjung secara mengejut, pasti beliau akan marah. Seringkali beliau berpesan, kalau nak datang bagi tau awal-awal.

ZulBakar yang awalnya berkata mahu pulang awal seperti tak mahu meninggalkan Abg Mat Siam. Pelbagai topik pertanian bersilih-ganti ditanya dan dibincangkan. En Malik juga tak ketinggalan mengutarakan pelbagai pertanyaan. Durian dan pokok tin pula menjadi tajuk perbincangan.

Kebetulan ada dua batang pokok buah tin di hadapan rumah Abg Mat Siam dari spesis Brown Turkey. Menurut beliau, ada seorang kenalan beliau yang bekerja dengan JPM dan sering ke luar negara. Dan, setiap kali beliau akan membeli dan membawa balik pelbagai spesis pokok buah tin. Sudah 25 spesis pokok buah tin dibawa balik dan ditanam oleh beliau. Daripada pemerhatian kenalannya itu, pokok buah tin dari spesis Brown Turkey adalah yang paling sesuai untuk cuaca di Malaysia. Ini kerana pokok buah tin dari spesis ini akan sentiasa berbuah manakala spesis lain hanya berbuah sekali kemudian tidak berbuah lagi walaupun hidup subur.

Imej ihsan Google
Buah tin dari spesis Brown Turkey - imej ihsan Google


Jam 1.20 petang kami bermohon diri. Seperti biasa, Abg Mat Siam berpesan supaya datang lagi. Insya-Allah...kami akan datang lagi dan terima kasih Abg Mat Siam atas layanan yang diberikan.

Wassalam.


Sunday 4 October 2015

Cendawan Tiram Kelabu...Potensi Menjadi Tanaman Selingan Di Celah-Celah Karas?

Salamwarahmatullah,

Sudah lama benar saya tidak menulis kerana banyak hal yang mengganggu. Tambahan pula, sekarang ini dalam proses menunggu...Menunggu suntikan karas menjadi matang untuk menikmati hasil gubal gaharu.

Sebagai usaha selingan, hari ini saya telah melawat sebuah ladang tanaman cendawan tiram kelabu yang terletak di Kg Sg Dua, Karak di dalam daerah Bentong, Pahang. Temujanji telah ditetapkan pada jam 10 pagi dan saya tiba di lokasi ladang bersama-sama En Malik sekitar jam 10:03 pagi.

Ketibaan kami telah disambut mesra oleh Ms Khong yang mengetuai operasi ladang cendawan tersebut. Begitu ramahnya beliau hingga kami tidak sedikit pun merasa janggal. Setiap soalan yang diajukan dijawab dengan sebaiknya oleh beliau. Setiap fasa penanaman cendawan tiram kelabu diberikan penerangan yang sejelas-jelasnya. Tiada berselindung sedikitpun. Banyak ilmu yang kami pelajari dari lawatan tersebut.

Keperluan rumah cendawan, kawasan sekitar, tahap kelembapan, keperluan pengudaraan semuanya diterangkan dengan jelas. Kebersihan rumah cendawan sentiasa dijaga. Pekerja beliau sentiasa menyembur lantai rumah cendawan bagi memastikan kelembapan yang sesuai untuk pertumbuhan cendawan.

Menurut Ms Khong, sudah 6 tahun mereka beroperasi dan kini mereka bukan sahaja menghasilkan cendawan tiram kelabu segar untuk pasaran tetapi juga bongkah cendawan siap disuntik benih bagi memudahkan sesiapa yang berminat untuk menanam cendawan tiram kelabu. Dengan cara ini, pengusaha cendawan tiram kelabu tidak lagi perlu bersusah-payah untuk mempelajari kaedah untuk menyediakan media tanaman serta menyuntik benih yang memerlukan kepakaran di samping mengambil masa yang panjang. Tambahan pula, usaha untuk menanam cendawan ini tidak memerlukan kawasan yang luas. Sebuah rumah cendawan berukuran 20' x 20' berupaya menempatkan sehingga 3000 bongkah cendawan.

Menggunakan bongkah cendawan siap disuntik, para pengusaha cendawan hanya perlu menumpukan kepada penjagaan dan kesihatan bongkah supaya hasil yang bakal dituai menjadi lumayan. Hasil tuaian cendawan pula boleh berlangsung selama sekitar 5 - 7 bulan. Apabila habis tempoh pengeluaran cendawan, para pengusaha hanya perlu menggantikan bongkah terpakai dengan bongkah yang baharu.

Sesungguhnya lawatan hari ini amat menguntungkan dari aspek ilmu yang kami dapat. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi.

Insya-Allah ilmu dari hasil lawatan hari ini akan direalisasikan.

Wassalam.


Saturday 6 June 2015

Ziarah Gaharu Di Tangkak

Salam warahmatullah,

Alhamdulillah saya dan anak-anak serta En Halim telah selamat kembali daripada Tangkak petang tadi sekitar jam 7:25. Tujuan kami ke Tangkak adalah untuk membawa En Halim untuk mengenali pokok karas serta melihat sendiri tanaman berkenaan. Di samping itu, ziarah itu juga bertujuan untuk melihat perkembangan inokulasi yang telah dilakukan pada 7 Mac yang lalu.

Alhamdulillah...sebatang pokok karas yang diinokulasi berhampiran pangkalnya telah menunjukkan tanda-tanda penghasilan gubal gaharu hingga ke akarnya. Apabila ditakik, kelihatan gubal berwarna keperangan dan berbau wangi. Apabila kepingan tersebut dimasukkan ke dalam unggun api kecil yang dibuat oleh anak saya, bau harum semerbak ke sekitar kawasan. Alhamdulillah syukrillah sekali lagi.


Daripada 4 batang pokok karas pemberian En Malek, 2 daripadanya menamatkan proses inokulasi bagi kali ke-3 hari ini. Bagi 2 batang lagi pokok karas, hari ini ia diinokulasikan bagi kali yang ke-2. Untuk itu, insya-Allah saya akan ke Tangkak semula dalam tempoh 3 bulan dari sekarang untuk melihat semula perkembangan inokulasi.

Seperti biasa, pulang dari Tangkak pastinya ada ole-ole. Kali ini...durian serta nenas menjadi ole-olenya termasuk sebiji nenas yang disifatkan gergasi oleh En Halim yang terkejut melihat saiznya. Inilah kali pertama beliau melihat nenas yang sebesar itu.


Demikianlah kisah sehari di Tangkak. Insya-Allah 3 bulan lagi kami akan berkunjung ke sana lagi.

Wassalam.



Diari Inokulasi Karas - 06062015

Tarikh inokulasi: 6 Jun 2015

Jumlah inokulasi: 4 batang karas

Lokasi projek: Kebun karas En Malek di Tangkak, Johor

Vaksin gaharu:  Bio-Vaksin GGM

Inokulasi di pangkal pokok karas telah menghasilkan gaharu yang wangi hingga ke akar pokok. Alhamdulillah.

Inokulasi kedua

Inokulasi kedua

Inokulasi ketiga



Sunday 10 May 2015

Aquillaria Agallocha & Teh Gaharu

Salam warahmatullah dan salam sejahtera,

Semalam saya telah berkesempatan ke tapak projek dan bermalam di Sg Lopoh. Kesempatan tersebut memberi peluang kepada saya untuk menanam 10 batang anak karas dari spesis A. Agallocha. Anak-anak karas tersebut telah saya beli daripada Tuan Faizul, pemunya Wafiqah Farm & Nursery beberapa bulan yang lalu. Pokok karas A. Agallocha dikatakan mempunyai persamaan DNA dengan A. Malaccensis yang merupakan spesis unik kepada Malaysia.




Kunjungan saya juga mendapati sebahagian daripada pokok karas sedang berbunga dan berbuah di samping berpucuk muda. Lantas, saya telah mengutip pucuk-pucuk muda tersebut dan berjaya mendapatkan satu beg plastik penuh pucuk-pucuk gaharu untuk dijadikan teh gaharu.

Pucuk-pucuk tersebut kemudiannya dicuci dan dicelur sebentar sebelum dibilas dengan air bersih. Setelah ditoskan, pucuk-pucuk tersebut pun dijemur. Dalam beberapa hari, insya-Allah ia akan kering sepenuhnya dan bolehlah dijadikan teh. Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat untuk membuat teh gaharu ini. Dan, pengalaman meminum teh gaharu sewaktu Sembang Gaharu Siri 3 yang diadakan oleh Datuk Haji Abdul Razak baru-baru ini telah meningkatkan lagi keinginan tersebut. Lantas...nah! Teh gaharu sedang dalam proses pembuatan.


Wassalam.




Sunday 3 May 2015

Sembang Gaharu Siri 3

Salam warahmatullah,

Semalam saya dan En Malek telah berpeluang menghadiri satu siri bengkel penanaman karas dan penghasilan gubal gaharu yang dianjurkan oleh Datuk Haji Abdul Razak Haji Ali, tuanpunya syarikat BioBenua Teknologi Sdn Bhd. Bengkel tersebut telah diadakan di Nusa Dusun Eco Resort, Kuala Linggi, Melaka. Bengkel yang bermula dari jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 1.30 petang itu telah dihadiri oleh lebihkurang 100 orang penanam serta peminat tanaman karas.

Banyak juga info-info serta ilmu baharu yang dapat saya pelajari dari bengkel tersebut. Apa yang menariknya adalah segala yang diutarakan di bengkel tersebut adalah hasil pengalaman peribadi Datuk Haji Abdul Razak serta syarikat beliau, BioBenua Teknologi Sdn Bhd.

Datuk Haji Abdul Razak sedang menyampaikan ceramah beliau.

Adik Datuk Razak, Roslan Hj Ali sedang memberikan penerangan.


Antara aspek-aspek yang diperbincangkan adalah teknik penanaman dan penjagaan pokok karas, jenis-jenis vaksin dan kaedah-kaedah inokulasi, hasil gaharu, pembuatan minyak serta pemasaran gubal gaharu. Oleh kerana bengkel tersebut adalah bersifat santai, maka para peserta bebas untuk mengajukan soalan-soalan mereka yang kemudiannya dijawab oleh Datuk Haji Abdul Razak serta adik beliau Roslan Hj Ali dengan sebaik mungkin.

Para peserta kemudiannya dibawa ke ladang contoh dan diberikan tutorial praktikal bagaimana untuk menginokulasi pokok karas menggunakan teknik yang telah diperkemaskan oleh BioBenua Teknologi Sdn Bhd. Dua teknik inokulasi telah dipertunjukkan; satu adalah teknik 'spiral' manakala satu menggunakan alat suntikan 'ChemJet'.

Alat suntikan 'ChemJet'
Teknik 'spiral' serta teknik 'ChemJet' yang diperlihatkan kepada para peserta.
Contoh hasil gaharu menggunakan teknik 'spiral'.


Di sepanjang berjalannya bengkel tersebut, minuman teh gaharu dan kuih-muih sentiasa tersedia untuk santapan para peserta. Tidak hanya itu, tengaharinya pula kami dijamu dengan Nasi Biryani Gaharu serta lauk-pauk yang sedap-sedap belaka.

Setelah jamuan makan tengahari selesai, kami dibawa untuk melihat kilang memproses minyak gaharu di mana beberapa buah dapur sedang memasak kayu gaharu untuk menghasilkan minyak gaharu. Terdapat sekitar 7 buah dapur bersaiz kecil dan 15 buah dapur bersaiz besar di dalam kilang tersebut, Menurut Datuk Haji Abdul Razak, syarikat beliau bersedia untuk melakukan kerja-kerja memproses minyak gaharu bagi sesiapa yang berminat.





Bengkel diakhiri dengan promosi barangan keluaran syarikat BioBenua Teknologi Sdn Bhd seperti vaksin Black Gold Bio Booster yang telah memenangi pingat perak pada MaGIC 2014, sabun gaharu dan setanggi gaharu.

Vaksin gaharu Black Gold Bio Booster keluaran BioBenua Teknologi Sdn Bhd.


Bagi mereka-mereka yang berhajat untuk menghubungi Datuk Haji Abdul Razak, sila lihat di bawah:


Sembang Gaharu Siri 4? Insya-Allah akan diadakan dan saya akan berusaha untuk menghadirkan diri.

Wassalam.