...

LAZADA

Lazada Malaysia

Monday 28 May 2012

Minggu Ke-22 Tahun 2012

Salam warahmatullah,

Sudah 22 minggu berlalu dan hanya tinggal 30 minggu sebelum tahun 2012 berakhir. Seperti biasa, aktiviti hujung minggu kali ini berpusat di tapak projek di Sg. Lopoh, Hulu Langat.

Sebaik sampai di lokasi, saya terus memeriksa pokok-pokok karas. Beberapa pokok karas diserang semula oleh 'armyworm', namun tidak begitu teruk serangan tersebut. Di samping itu, beberapa pokok karas yang lain dihinggapi oleh kutu pokok. Memandangkan sudah lebih sebulan tiada semburan Brogard dilakukan, saya terus sahaja membancuh Brogard dan menyemburnya. Jam ketika itu sekitar 6:30 petang. Selesai menyembur sekitar jam 7:15 petang. Waktu yang sesuai seperti yang disarankan oleh pengeluarnya.

Berdasarkan pemerhatian, kemungkinan berulangnya serangan ulat 'armyworm' adalah dari banyaknya pokok pisang di sekeliling tapak projek. Dalam posting yang lalu, saya pernah menyebut bahawa ulat 'armyworm' ini kelihatan seperti ulat pokok pisang, yakni ulat yang biasa didapati di dalam gulungan daun pisang. Biarpun semburan Brogard telah dibuat, ulat 'armyworm' ini masih berupaya menyerang sekitar 5 minggu selepas semburan Brogard. Maknanya, keupayaan Brogard boleh bertahan sehingga 5 minggu sebelum perlu disembur semula.

Sementara itu, saya menerima maklumat daripada En Malik pada hari Selasa lalu bahawa beliau telah pun berjaya mendapatkan baja Basal2000. Diharapkan dengan adanya baja ini nanti akan dapat membantu memperbaiki pertumbuhan pokok-pokok karas di samping mengawal rumput-rumpai. Dari info yang didapati, selain daripada berupaya meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran hasil, baja Basal2000 juga berupaya mengawal rumput-rumpai kerana ia bersifat 'anti-green'. Penggunaan secara berterusan akan menjadikan ladang atau kebun bersih dan terjaga daripada rumput dan rumpai. Ujian semburan pertama Basal2000 akan dilakukan sebaik sahaja En Malik kembali ke KL. Mungkin hujung minggu kedua bulan Jun 2012. Nantikan perkembangannya!

Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan ialah ujian suntikan inokulan buatan sendiri ke atas 2 batang pokok di Semenyih kini sudah memasuki usia 1 tahun. Sebatang pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula NZ dan sebatang lagi pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula Y. Di dalam posting bertarikh 24 Disember 2011, saya ada menyebut perihal perkembangan ujian inokulasi tersebut. Kini, hanya enam bulan lagi sebelum pokok-pokok yang telah diinokulasi itu dapat ditebang dan hasilnya diambil. Berdasarkan lawatan yang lalu, insyallah hasilnya pasti menakjubkan.

Sekian dahulu buat masa ini. Insyallah bertemu kembali sekitar 2 minggu dari sekarang.

Wassalam.



Sunday 13 May 2012

13hb Mei 2012

Salam warahmatullah,

Apa lagi la aktivitinya kalau tidak ke tapak projek. Sebetulnya...petang semalam lagi sudah ke Sg Lopoh, bermalam di rumah ipar. Oleh itu, pagi-pagi lagi sudah menjenguk ke tapak projek. En Malik pun turut serta. Beliau tiba kira-kira jam 9:45 pagi.

Sebelum itu, pada hari Rabu Lepas, En Malik telah ke tapak projek terus dari kampung dengan membawa 22 batang anak karas serta beberapa batang anak nenas. Kesemua 22 batang anak karas itu telah beliau tanam di sekitar tapak projek. Jadinya, aktiviti hari ini lebih kepada membersihkan kawasan sekitar serta membaja. Juga, menanam anak nenas. Beberapa batang anak pisang nipah juga telah ditanam bagi memberi teduhan kepada pokok-pokok karas di samping memberikan hasil sampingan.

Hasil dari pemerhatian, pokok-pokok karas yang mendapat teduhan didapati tumbuh dengan lebih baik dan memberangsangkan berbanding pokok-pokok karas yang ditanam di kawasan lapang tanpa teduhan. Pun begitu, keadaan tanah juga memainkan peranan penting bagi pertumbuhan pokok-pokok karas.

Sementara itu, hasil pemerhatian dari pokok ke pokok mendapati tiada lagi sebarang tanda-tanda serangan 'armyworm'. Pun begitu, kutu pokok masih namun tidak menyebabkan tindakbalas negatif terhadap pokok karas. Nak kena bertemu dan bermusyawarah dengan Abang Mat nampaknya.

Hmm...sudah lama tak berjumpa dengan Abang Nasri. Apalah khabar beliau agaknya? Sebetulnya...sudah beberapa kali teringatkan beliau, tetapi belum mempunyai kelapangan masa untuk bertemu beliau. Insyallah...sedikit masa lagi akan ke nurseri beliau. Mungkin usaha beliau untuk mengadakan spa gaharu sudah pun berhasil.

En Malik sedang membersihkan kawasan.

Izzat turut sama menebas.
Pokok karas Ahmad.

Pokok karas Izzat.


Oh ya!...saya mempunyai dua rumpun besar serai wangi. Kalau ada sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi 012-2021472.



Wassalam.