...

LAZADA

Lazada Malaysia

Monday 17 December 2012

Pucuk gaharu...

Salam warahmatullah.

Pertama sekali, saya ingin mewar-warkan Seminar Kebangsaan & Pameran Gaharu 2012 yang akan diadakan dari 18hb Disember 2012 - 20hb Disember 2012 bertempat di Bukit Jalil.

Keduanya, saya mendapat info daripada En Malik bahawa beliau mempunyai banyak pucuk-pucuk gaharu yang sedia untuk diproses di ladang beliau di Kg Payamas Dalam, Tangkak, Johor. Jika ada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan pucuk gaharu segar untuk diproses menjadi teh, bolehlah berhubung terus dengan beliau di talian 016-6951347. Harga dan kaedah pengambilan/penghantaran boleh dibincangkan dengan beliau.

Wassalam.



Saturday 3 November 2012

Basal2000, Brogard...dll

Salam warahmatullah,

Nukilan saya yang terakhir adalah pada 24hb September, 2012. Bermakna, sudah satu bulan lebih saya tidak menulis. Bukan tidak berkunjung ke tapak projek cuma ketiadaan masa untuk menulis.

Pada kali ini, saya ingin berkisar kepada Basal2000 terutama sekali kepada keberkesanannya. Enam minggu yang lalu, En Malek telah melakukan semburan Basal2000 dan kesan daripada semburan tersebut dapat dilihat sehingga hari ini. Kawasan sekitar pokok yang disembur Basal2000 masih tiada lalang dan rumput yang tumbuh. Hajat saya untuk melakukan semburan ulangan hari ini tapi hujan yang turun sekejap-sekejap sepanjang hari membantutkan angan-angan tersebut.

Sebagai gantinya, saya melakukan "pruning" ke atas pokok-pokok pisang di sekitar tapak projek. Sudah terlalu banyak rumpun-rumpun pisang hingga sudah kelihatan bersemak. Dengan melakukan "pruning", rumpun-rumpun pisang kelihatan lebih cantik dan terjaga dan tidak mencacatkan pandangan.

Tinjauan ke atas pokok-pokok karas juga tidak menemukan serangan "armyworm". Alhamdulillah, kepercayaan saya kepada Brogard semakin mantap. Tidak dapat dinafikan Brogard amat berkesan menangani masalah serangan "armyworm".

Seminggu setengah yang lepas, saya menerima emel daripada adik saudara saya yang bekerja di Manama, Bahrain. Katanya, ada rakannya dari Bahrain yang sedang mencari gaharu dan dia bertanya apakah saya dapat membantu beliau untuk mencarikan gaharu itu. Terus sahaja saya menghubungi Tuan Bakery. Memang ada! Sekitar 1/2 kilogram yang sudah dicuci. Kemudian, adik saudara saya itu meminta dihantarkan sedikit contoh gaharu dan saya meminta Tuan Bakery untuk menyediakannya. Insyallah, mudah-mudahan ada rezeki yang barakah!

Bertemu lagi di lain kali, insyallah.

Wassalam.



Monday 24 September 2012

Gaharu ku.....

Salam warahmatullah,

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini kerana pelbagai perkara. Apapun, projek penanaman karas masih lagi berjalan walaupun dengan kadar yang agak perlahan sekarang ini.

Pada minggu ketiga raya, saya telah mengunjungi tapak projek. Namun, saya tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan blog ini. Aktiviti yang dilakukan pada petang Sabtu adalah menyembur pokok-pokok karas dengan Brogard memandangkan kedapatan beberapa pokok karas yang diserang oleh armyworm sekali lagi. Keesokan harinya, saya bersama-sama En Malek telah pergi ke Semenyih untuk melihat sendiri perkembangan 2 batang pokok karas yang telah diinokulasikan setahun yang lalu. Kunjungan kami telah ditemani oleh Tuan Bakery.

Mulanya, kami agak kecewa apabila melihat pokok karas yang diinokulasikan dengan Formula NZ telah mati akibat dimakan anai-anai. Bagaimanapun, setelah diteliti dengan lebih dekat, kami dapati batang pokok karas tersebut mempunyai teras gaharu. Lalu, pokok tersebut telah ditebang dan batangnya dibawa pulang untuk dicuci. Hasilnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Tuan Bakery pada minggu hadapannya, amat baik sekali. Gaharunya amat wangi sekali. Cuma... saya belum berkesempatan untuk pergi melihatnya secara peribadi.

Sebatang lagi pokok karas yang diinokulasikan dengan Formula Y dibiarkan untuk terus matang setelah diperiksa dan didapati sedang menghasilkan teras gaharu dengan baik.

Tiga minggu kemudian iaitu pada hari minggu yang lalu, saya telah sekali lagi mengunjungi tapak projek bersama-sama En. Malek. Kami telah menanam lebihkurang 10 batang anak nenas di celah pokok-pokok karas sebagai usaha sampingan. En Malek kemudiannya telah melakukan semburan Basal2000 sebanyak 3 pusingan. Setiap pusingan menggunakan 16 liter campuran Basal2000.

Sebagaimana yang pernah saya nukilkan dahulu, penggunaan Basal2000 sememangnya amat efektif dengan syarat ianya dilakukan secara sistematik dan konsisten. Pengalaman peribadi En Malek di Kampung Payamas Dalam, Tangkak juga mengiakan perkara ini. Cumanya, bagi projek di Langat ini tidak dapat dilakukan sebegitu kerana saya hanya boleh berkunjung ke tapak projek setiap 2 atau 3 minggu sekali.

Satu masalah yang agak sukar untuk dibendung adalah pokok karas yang hampir tumbang kerana dilanda angin kencang. Perkara yang sama juga dialami oleh Tuan Bakery di Semenyih serta En Malek di Tangkak. Nampaknya, satu pendekatan baru perlu dilakukan. Mungkin kaedah yang digunapakai oleh DBKL ketika menanam pokok-pokok lanskap yang besar boleh dipraktikkan.

Oklah...sekadar itu sahaja buat kali ini.

Wassalam.



Monday 4 June 2012

Melawat Tanaman Karas En Malik

Salam warahmatullah,

Hari Jumaat lalu, saya telah pulang ke Segamat kerana ada urusan peribadi. Pada hari Ahadnya, sewaktu pulang ke KL, saya telah sempat singgah di Kg Payamas Dalam, Tangkak melawat kebun karas En Malik.

Sungguh menakjubkan! Rata-rata, pokok-pokok karas yang beliau tanam sekitar 2 tahun lalu, kesemuanya telah membesar hingga sekitar 14 kaki tinggi dan diameter batang sekitar 6-8 inci. Tak hairan jika sekarang ini En Malik begitu memberi tumpuan kepada projek karas beliau. Hingga adakalanya beliau akan berada di kampung hingga satu bulan pada satu-satu masa.

Sudah lama saya meminta En Malik untuk memberikan saya gambar-gambar projek beliau itu . Namun, tidak kesampaian hingga sekarang. Melihat dari keadaan tapak projek beliau, menambahkan keyakinan saya bahawasanya pokok karas amat memerlukan lindungan untuk membesar dengan baik. Saya segera teringatkan gambar dari internet yang menunjukkan seorang perempuan Vietnam berdiri di hadapan sebatang pokok setinggi sekitar lebih 20 kaki dan dikatakan berusia 3 tahun. Jika dibandingkan dengan pokok-pokok karas En Malik, saya percaya ada kebenarannya. Yakni, pokok karas boleh mencapai ketinggian melebihi 20 kaki serta mempunyai diameter sekitar 10 inci dalam jangkamasa 3 tahun ditanam. Dan, jika prestasi tumbesaran ini berterusan, tentu sahaja pokok-pokok karas tersebut boleh diinokulasi apabila berusia 4 tahun.

Memang sungguh mengujakan melihat pokok-pokok karas En Malik. Tambahan pula, beliau sememangnya memberikan perhatian serius kepada projek tanaman karas beliau itu. Sentiasa sahaja berada di lapangan memberikan penjagaan terbaik kepada pokok-pokok karas beliau. Hakikat ini amat berbeza dengan projek di Sg Lopoh. Sekiranyalah setiap minggu ada peserta projek yang dapat meluangkan masa menjenguk, menjaga dan membelai pokok-pokok karas di situ, tentunya prestasi tumbesaran pokok-pokok karas tersebut lebih baik dari sekarang. Tapi apakan daya... lebih ramai yang tidur dari yang jaga, lebih ramai yang pandai berkata-kata dari mengeluarkan tenaga dan wang belanja. Mahu tak mahu kena terimalah apa yang ada!

Apapun, insyalllah projek Sg Lopoh itu akan diteruskan biarpun cuma 2 orang yang berusaha untuk menjayakannya kerana usaha itu tangga kejayaan. Dan...apa yang penting sekarang ini adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah tanah yang kurang bermutu dan memperbaikinya. Penggunaan Brogard sedikit sebanyak ada menampakkan perkembangan namun masih tidak mencukupi. Kini, Basal2000 telah berada di dalam tangan dan insyallah akan disembur pada hujung minggu nanti. Harap-harap akan ada perkembangan yang lebih baik dan memberangsangkan. Amin!!!

Mengakhiri posting kali ini, dipaparkan beberapa gambar yang diambil di kebun karas En Malik.

Wassalam.

Satu kelompok anak karas yang belum ditanam.

Satu kelompok lagi anak karas sedia untuk ditanam.



















Monday 28 May 2012

Minggu Ke-22 Tahun 2012

Salam warahmatullah,

Sudah 22 minggu berlalu dan hanya tinggal 30 minggu sebelum tahun 2012 berakhir. Seperti biasa, aktiviti hujung minggu kali ini berpusat di tapak projek di Sg. Lopoh, Hulu Langat.

Sebaik sampai di lokasi, saya terus memeriksa pokok-pokok karas. Beberapa pokok karas diserang semula oleh 'armyworm', namun tidak begitu teruk serangan tersebut. Di samping itu, beberapa pokok karas yang lain dihinggapi oleh kutu pokok. Memandangkan sudah lebih sebulan tiada semburan Brogard dilakukan, saya terus sahaja membancuh Brogard dan menyemburnya. Jam ketika itu sekitar 6:30 petang. Selesai menyembur sekitar jam 7:15 petang. Waktu yang sesuai seperti yang disarankan oleh pengeluarnya.

Berdasarkan pemerhatian, kemungkinan berulangnya serangan ulat 'armyworm' adalah dari banyaknya pokok pisang di sekeliling tapak projek. Dalam posting yang lalu, saya pernah menyebut bahawa ulat 'armyworm' ini kelihatan seperti ulat pokok pisang, yakni ulat yang biasa didapati di dalam gulungan daun pisang. Biarpun semburan Brogard telah dibuat, ulat 'armyworm' ini masih berupaya menyerang sekitar 5 minggu selepas semburan Brogard. Maknanya, keupayaan Brogard boleh bertahan sehingga 5 minggu sebelum perlu disembur semula.

Sementara itu, saya menerima maklumat daripada En Malik pada hari Selasa lalu bahawa beliau telah pun berjaya mendapatkan baja Basal2000. Diharapkan dengan adanya baja ini nanti akan dapat membantu memperbaiki pertumbuhan pokok-pokok karas di samping mengawal rumput-rumpai. Dari info yang didapati, selain daripada berupaya meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran hasil, baja Basal2000 juga berupaya mengawal rumput-rumpai kerana ia bersifat 'anti-green'. Penggunaan secara berterusan akan menjadikan ladang atau kebun bersih dan terjaga daripada rumput dan rumpai. Ujian semburan pertama Basal2000 akan dilakukan sebaik sahaja En Malik kembali ke KL. Mungkin hujung minggu kedua bulan Jun 2012. Nantikan perkembangannya!

Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan ialah ujian suntikan inokulan buatan sendiri ke atas 2 batang pokok di Semenyih kini sudah memasuki usia 1 tahun. Sebatang pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula NZ dan sebatang lagi pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula Y. Di dalam posting bertarikh 24 Disember 2011, saya ada menyebut perihal perkembangan ujian inokulasi tersebut. Kini, hanya enam bulan lagi sebelum pokok-pokok yang telah diinokulasi itu dapat ditebang dan hasilnya diambil. Berdasarkan lawatan yang lalu, insyallah hasilnya pasti menakjubkan.

Sekian dahulu buat masa ini. Insyallah bertemu kembali sekitar 2 minggu dari sekarang.

Wassalam.



Sunday 13 May 2012

13hb Mei 2012

Salam warahmatullah,

Apa lagi la aktivitinya kalau tidak ke tapak projek. Sebetulnya...petang semalam lagi sudah ke Sg Lopoh, bermalam di rumah ipar. Oleh itu, pagi-pagi lagi sudah menjenguk ke tapak projek. En Malik pun turut serta. Beliau tiba kira-kira jam 9:45 pagi.

Sebelum itu, pada hari Rabu Lepas, En Malik telah ke tapak projek terus dari kampung dengan membawa 22 batang anak karas serta beberapa batang anak nenas. Kesemua 22 batang anak karas itu telah beliau tanam di sekitar tapak projek. Jadinya, aktiviti hari ini lebih kepada membersihkan kawasan sekitar serta membaja. Juga, menanam anak nenas. Beberapa batang anak pisang nipah juga telah ditanam bagi memberi teduhan kepada pokok-pokok karas di samping memberikan hasil sampingan.

Hasil dari pemerhatian, pokok-pokok karas yang mendapat teduhan didapati tumbuh dengan lebih baik dan memberangsangkan berbanding pokok-pokok karas yang ditanam di kawasan lapang tanpa teduhan. Pun begitu, keadaan tanah juga memainkan peranan penting bagi pertumbuhan pokok-pokok karas.

Sementara itu, hasil pemerhatian dari pokok ke pokok mendapati tiada lagi sebarang tanda-tanda serangan 'armyworm'. Pun begitu, kutu pokok masih namun tidak menyebabkan tindakbalas negatif terhadap pokok karas. Nak kena bertemu dan bermusyawarah dengan Abang Mat nampaknya.

Hmm...sudah lama tak berjumpa dengan Abang Nasri. Apalah khabar beliau agaknya? Sebetulnya...sudah beberapa kali teringatkan beliau, tetapi belum mempunyai kelapangan masa untuk bertemu beliau. Insyallah...sedikit masa lagi akan ke nurseri beliau. Mungkin usaha beliau untuk mengadakan spa gaharu sudah pun berhasil.

En Malik sedang membersihkan kawasan.

Izzat turut sama menebas.
Pokok karas Ahmad.

Pokok karas Izzat.


Oh ya!...saya mempunyai dua rumpun besar serai wangi. Kalau ada sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi 012-2021472.



Wassalam.




Sunday 22 April 2012

Brogard - Semburan Ke-4

Salam warahmatullah,

Bertemu sekali lagi di Laman Karas. Siang tadi, semburan Brogard bagi kali ke-4 telah dilakukan setelah tertangguh beberapa kali. Cuaca yang cerah telah membolehkan kerja-kerja penyemburan itu dilakukan. Kedua-dua projek FM dan BOG telah disembur.

Semakan dari pokok ke pokok menunjukkan tiada tanda-tanda susulan serangan 'armyworm'. Alhamdulillah! Syukur ke hadrat Ilahi usaha menggunakan Cecair Kawalan serangga Brogard sekali lagi menampakkan kehebatannya. Pokok-pokok karas juga semakin cantik tumbuh dengan kemunculan pucuk-pucuk baru terutama di projek FM.

Bagi projek BOG, kemungkinan kekurangan mineral di dalam tanah melambatkan pertumbuhan pokok. Usaha tertentu perlu dilakukan bagi memastikan pokok-pokok karas tumbuh dengan baik dan dengan kadar yang lebih cepat. Sewaktu cuti pertabalan Yang Dipertuan Agung baru-baru ini, En Malek telah membawa satu guni baja organik seberat 40 kg dan telah ditabur. Diharapkan usaha ini akan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Kita tunggu lagi 2 minggu untuk melihat perkembangannya.

Sementara itu, Saudara Jamar dari blog Gaharu & Candan telah membuat tawaran istimewa bersempena dengan ulangtahun Inokulan Gaharu Biotech beliau. Sila klik di sini untuk keterangan lanjut.

Bagi mereka yang mungkin berminat dengan industri hiliran gaharu iaitu pengeluaran kosmetik berasaskan gaharu, bolehlah ke portal berikut -> http://gaharubeauty.com/

Sebelum mengundur diri, tatapi beberapa gambar kerja-kerja semburan Brogard siang tadi.

Semburan di Projek FM.
Semburan di Projek BOG.


Insyallah, berjumpa lagi di lain kali. Wassalam.


Wednesday 11 April 2012

Daulat Tuanku


Salam warahmatullah,

Sempena cuti umum Pertabalan Yang Dipertuan Agung, saya telah mengambil kesempatan untuk meninjau ke tapak projek. Turut sama adalah En Malek yang juga membawa seguni baja organik ( 40 kg ) yang dibeli dari Tangkak. Cuaca hari ini agak mendung dengan hujan renyai-renyai membasahi bumi lantas cadangan untuk menyembur Brogard terpaksa dibatalkan.

Pun begitu, kami terus memeriksa pokok-pokok karas dan kemudiannya menyulam 10 batang lagi anak karas yang dibawa oleh En Malek. Pekerjaan hari ini terpaksa dilakukan dengan segera sebab saya terpaksa pulang awal untuk mengambil anak yang pulang dari tuisyen sekitar jam 12 tengahari.

Keadaan pokok karas projek FM kelihatan cantik tanpa ada tanda-tanda serangan susulan armyworm. Manakala di projek BOG, 3 batang pokok karas nyata mati dan terpaksa dibuang. Sayang sekali, sebab 2 darinya sudah setinggi kira-kira 8 kaki.

Jam 11:30 pagi, saya bergerak meninggalkan tapak projek sementara En Malek menyudahkan sedikit kerja yang masih berbaki. Kira-kira jam 12:20 tengahari sedang dalam perjalanan pulang, saya menerima panggilan dari Tuan Man memberitahu beliau serta Tuan Azren berada di tapak projek. Alhamdulillah....semoga dengan kehadiran mereka berdua ada manfaatnya.

Sekian.


Monday 26 March 2012

Brogard - Semburan Kali Ke-3

Salam warahmatullah,

Semalam saya telah ke tapak projek untuk meninjau perkembangan projek setelah kira-kira 4 minggu tidak ke sana. Secara keseluruhannya, pokok-pokok karas berada di dalam keadaan yang baik. Hanya dua batang pokok didapati mesih diserang 'armyworm' namun serangannya agak 'mild'.

Untuk itu, semburan Brogard bagi kali ke-3 telah dilakukan. Seperti yang dijangkakan, ulat-ulat 'armyworm' tersebut terus dimatikan dalam tempoh setengah jam kemudiannya. Sungguh menakjubkan!

Maaflah untuk posting kali ini, tiada gambar disertakan. Pekerjaan semalam terpaksa dibuat secara tergesa-gesa sebab tengaharinya saya ada kenduri kahwin yang perlu dihadiri.

Wassalam.



Sunday 19 February 2012

5 Minggu Selepas Semburan Brogard...

Salam warahmatullah,

Siang tadi saya telah berkesempatan menjenguk tapak projek FM. Alhamdulillah, tiada tanda-tanda serangan susulan 'armyworm'. Pucuk-pucuk serta dedaun baru sudah mulai tumbuh di pokok-pokok karas yang dahulunya diserang 'armyworm'.

Sungguh hebat dan sungguh ajaib keberkesanan Cecair Kawalan Serangga Brogard. Lima minggu setelah semburan pertama, tiada lagi tanda-tanda serangan 'armyworm'.

Asalnya, saya bercadang untuk melakukan semburan ulangan pada minggu keempat. Namun, cadangan itu terpaksa ditangguhkan sehingga minggu ini kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Apapun, saya amat berpuashati. Pertamanya, kerana tiada lagi serangan ulat-ulat 'armyworm'. Dan keduanya, kerana keberkesanan Brogard yang amat menakjubkan. Manakala ketiganya, hampir keseluruhan pokok-pokok karas sudah mulai menampakkan pemulihan; ada yang berpucuk baru dan ada yang sudah berdaun baru.

Sebagai usaha pencegahan, semburan ulangan Cecair Kawalan Serangga Brogard telah dilakukan pagi tadi. Semoga semburan ini akan memastikan serangan ulat-ulat 'armyworm' dapat dipatahkan sepenuhnya.

Sebagai usaha seterusnya, saya bercadang untuk mendapatkan larutan racun rumpai serta baja organik Basal2000. Khabarnya, Basal2000 mampu mengawal rumput dan rumpai di sekeliling pokok di samping menjadi baja kepada pokok yang ditanam. Nantikan update-nya nanti.

Sementara itu, disertakan gambar-gambar pokok-pokok karas yang sedang berpucuk dan berdaun baru untuk tatapan semua.








Wassalam.




Wednesday 8 February 2012

3 Minggu Selepas Semburan Brogard...

Salam warahmatullah,

Pagi Sabtu, 4hb Februari, saya telah melawat tapak projek untuk melihat keberkesanan semburan Cecair Kawalan Serangga Brogard. Memang menakjubkan! Tiada lagi ulat-ulat 'armyworm' di mana-mana pun pokok karas. Lebih menakjubkan, pucuk-pucuk muda mulai kelihatan di pokok-pokok karas yang telah diserang oleh 'armyworm' sebelumnya.

Hari itu, tidak banyak pekerjaan yang dilakukan. Hanya melawat sekitar tapak projek sambil tersenyum puas melihat hasil semburan Brogard. Satu kegembiraan yang tidak terucapkan. Memang puas hati!

Brogard sememangnya menepati jaminan yang disebutkan. Hanya dengan satu semburan sahaja telah dapat memusnahkan keseluruhan gerombolan 'armyworm'. Dan, sehingga kini yakni 3 minggu kemudian, tiada tanda-tanda serangga susulan 'armyworm'.

Walaupun, pengeluar Brogard menyarankan semburan setiap 2 minggu, saya membuat keputusan untuk menunggu 1 minggu lagi dan mencukupkannya menjadi 4 minggu sebelum semburan seterusnya. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana kekuatan dan keberkesanan kawalan serangga oleh Brogard. Yang demikian itu akan memudahkan saya di masa akan datang untuk membuat perancangan kawalan serangga yang realistik dan berkesan.

Apa pun, keberkesanan Brogard memang menakjubkan. Apalagi ia juga berfungsi sebagai baja untuk pertumbuhan pokok kerana ia adalah organik.

Wassalam.





.

Sunday 15 January 2012

Kehebatan Brogard

Salam warahmatullah,

Entri kali ini berkisar kepada ujian semburan Cecair Kawalan Serangga organik yang telah dilakukan pada hari Sabtu, 14hb. Jan 2012 di tapak projek FM. Sebagaimana yang disarankan oleh pengeluarnya, semburan telah dilakukan ketika hari senja. Hasilnya, pada pagi Ahad, kesemua ulat Atteva Sciodoxa atau lebih dikenali sebagai ulat harimau telah didapati mati.

Kemudiannya, saya telah mencuba menyembur sebatang pokok karas lagi ( tidak termasuk di dalam kawasan projek ) yang sedang diserang dengan lahapnya oleh ulat harimau dan hasilnya pada tengahari tadi, kesemua ulat-ulat tersebut juga telah mati. Hebat sekali hasil semburan cecair kawalan serangga ini!

Cecair Kawalan Serangga ini atau nama komersialnya Brogard, dihasilkan oleh seorang penggiat tani di Raub, Pahang. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan herba, tidak kurang daripada 20 jenis herba mengikut kata pengeluarnya. Namun, walaupun ia hebat memusnahkan pelbagai serangga perosak, ia tidak berbahaya kepada manusia. Sekali pun jika kita termakan cecair kawalan serangga tersebut, ia tidak akan memudaratkan.

Di samping itu, menurut kata pengeluarnya, cecair tersebut juga berfungsi sebagai baja untuk pertumbuhan pokok. Menurut beliau, dari pengalaman beliau sendiri yang mengusahakan tanaman sayuran, penggunaan cecair tersebut telah membantu beliau mengeluarkan hasil tanaman yang lumayan dan berkualiti.

Sebagai contohnya, hasil terbaru tanaman tembikai F1 Black Gold yang beliau usahakan, tidak sebijipun daripada buahnya diserang oleh ulat buah. Hakikat ini diakui sendiri oleh pengimpot tembikai tersebut dari Singapura. Selain itu, seorang penggiat tani dari Kuala Pilah hampir sahaja terpaksa menanggung kerugian besar apabila tanaman cili beliau seluas 10 ekar diserang oleh kulat hingga menyebabkan daunnya menggerinting. Pada kebiasaannya, apabila ini berlaku, pokok cili tidak akan mengeluarkan hasil. Jika ada pun, hasilnya amat sedikit dan kualitinya tidak baik. Namun, hasil semburan Cecair Kawalan Serangga Brogard setiap 2 minggu telah membolehkan beliau menikmati pulangan yang amat lumayan - sebanyak 11 tan!

Terima kasih Brogard!

Berikut adalah beberapa gambar hasil semburan Brogard.





Sekarang, apa yang ingin saya lihat adalah pokok-pokok karas tersebut kembali sihat. Insyallah, 2 minggu lagi saya akan melawat semula tapak projek untuk melihat perkembangannya.

Wassalam.

.