...

LAZADA

Lazada Malaysia

Monday 14 October 2013

Inokulasi...Info Terkini...

Salam warahmatullah,

Hanya sedikit coretan untuk dikongsikan.

Selepas 4 minggu, saya kembali ke tapak projek untuk melihat perkembangan inokulasi yang telah dijalankan. Kelihatannya pokok-pokok yang diinokulasi tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda negatif atau renjatan. Alhamdulillah...mudah-mudahan hasilnya nanti membanggakan.

Sebagai tambahan sepohon pokok karas milik landlord telah diinokulasikan. Kali ini menggunakan vaksin En Malek serta teknik gantung.



Wassalam.



Saturday 5 October 2013

Bersama Saudara Ahmad Khan...

Salam warahmatullah dan selamat bertemu kembali,

Siang tadi, saya bersama En Malek telah ke Negeri Pahang untuk bertemu dengan Saudara Ahmad Khan. Sudah amat lama saya tidak bertemu dengan beliau. En Malek pula ikut serta sebab tertarik dengan cerita saya betapa hebatnya Saudara Ahmad Khan ini di dalam bidang pertanian terutama sekali berkenaan EM - Effective Microorganisme.

Setelah membuat temujanji malam tadi, kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 pagi. Dengan keadaan jalan yang tenang, kami tiba di destinasi sekitar jam 10.30 pagi. Setelah menelefon dan menunggu beberapa ketika, kami bertemu beliau di Pejabat Pertanian Gali di mana beliau melakukan usaha tanaman cili secara fertigasi.

Walaupun rencana awalnya untuk berbincang perihal EM, sebaik sahaja melihat tanaman cili fertigasi beliau, saya dan En Malek langsung menukar tajuk kepada tanaman fertigasi. Memang seronok berborak dengan beliau, banyak ilmu yang dikongsikan dan banyak panduan yang diberikan. Apa yang paling menarik perhatian En Malek adalah teknik bancuhan baja fertigasi yang dilakukan oleh Saudara Ahmad Khan. Kepekatan bancuhan baja tersebut dikawal mengikut keperluan tumbesaran pokok cili. Menurut Saudara Ahmad Khan, perkara ini adalah amat penting bagi memastikan projek fertigasi membuahkan hasil yang lumayan. Tidak hairanlah cili besar hasil tanaman fertigasi Saudara Ahmad Khan sepanjang 8 inci sebiji.

Setelah lama berborak perihal fertigasi akhirnya kami berbalik kepada EM yang menjadi agenda utama kami ke situ. Saya telah bertanya beliau kenapa beberapa blog/laman pertanian menyarankan supaya meletakkan nenas ke dalam resipi EM dan beliau menjawab bagi menambahkan kandungan oksigen dan seterusnya memastikan kultur bakteria di dalam EM dapat berkembang-biak dengan lebih baik.

Beliau juga memberitahu bahawasanya kandungan bahan organik yang berlainan akan menghasilkan kultur bakteria yang berlainan. Hmm...pengetahuan baru buat saya serta En Malek.

Pengetahuan Saudara Ahmad Khan di dalan bidang pertanian sememangnya sukar untuk disangkal. Berdiskusi dengan beliau membuatkan saya merasakan betapa masih mentahnya kami berdua di dalam bidang pertanian termasuklah EM. Tidak hairanlah jika Saudara Ahmad Khan sering dijemput oleh Jabatan Pertanian untuk mengendalikan kelas-kelas pertanian terutamanya bagi kaedah fertigasi. Menurut Saudara Ahmad Khan, beliau sekarang ini mempunyai lebih 1000 orang anak murid yang sedang belajar dari beliau di beberapa kelas pertanian.

Menjelang jam 1.15 tengahari, Saudara Ahmad Khan menjemput kami ke rumah beliau untuk makan tengahari. Sedap...masakan kampung! Semasa makan kami tetap terus berdiskusi hal pertanian. Begitu juga selepas makan tengahari. Beberapa formula baru telah kami dapati. Saya minta maaf tidak dapat berkongsi formula tersebut buat masa ini kerana ia memerlukan penyelidikan lanjut bagi menentukan samada formula tersebut boleh diadaptasikan bagi penanaman karas serta pengeluaran gaharu.

Bermula sekitar jam 11.30, pagi pertemuan kami dengan Saudara Ahmad Khan berakhir pada jam 3.15 petang. Itupun diiringi dengan hadiah 2 pokok cili padi hasil tanaman fertigasi beliau.

Terima kasih Saudara Ahmad Khan. Insyallah, kami akan berkunjung lagi.

Wassalam.





Monday 16 September 2013

Alhamdulillah...Inokulasi Gaharu Berjalan Lancar

Salam warahmatullah,

Alhamdulillah seperti yang direncanakan minggu lalu, proses inokulasi gaharu telah dapat dilakukan dengan baik dan lancar walaupun tarikhnya telah diubah kepada minggu ini daripada tarikh asalnya iaitu minggu hadapan.

Kira-kira jam 9.00 pagi tadi, saya, En Malek serta Tuan Bakery telah berada di lokasi. Turut serta adalah anak saya sebagai jurufoto untuk merakamkan detik-detik bersejarah tersebut.

Aktiviti pagi tadi bukan sahaja untuk menginokulasi pokok-pokok karas tetapi juga berperanan sebagai kajian lapangan untuk menguji teknik H-Tec serta untuk menguji inokulan / vaksin yang dibuat oleh En Malek. Lebihkurang...3-dalam-1...gitu-gitu le.
 
Inokulan Tuan Bakery

Inokulan En Malek
Pokok pertama diinokulasi menggunakan vaksin Tuan Bakery menggunakan kombinasi teknik gantung serta H-Tec. Untuk pengetahuan pembaca sekelian, Tuan Bakery telah mula mengusahakan vaksin semenjak kira-kira 2 tahun yang lalu menggunakan formula R1310 sebagai asas dan kemudiannya dikembangkan dan dipertingkatkan. Manakala teknik gantung ini diadaptasi daripada teknik Saudara Jamar dari Lanchang, Pahang. Terima kasih Saudara Jamar, semoga Allah merahmati saudara. Amin...

Pokok pertama - inokulasi menggunakan kaedah gantung serta H-Tec dan vaksin Tuan Bakery
Pokok kedua diinokulasi menggunakan teknik gantung serta vaksin En Malek. Ini adalah kali pertama vaksin En Malek diuji di lapangan. Jika dilihat dari warna dan bau, ianya adalah setanding dengan vaksin Tuan Bakery. Harap-harap ia akan membuahkan hasil yang berkualiti tinggi.

Pokok kedua - inokulasi menggunakan kaedah gantungdan vaksin En Malek

Pokok ketiga diinokulasi menggunakan teknik H-Tec serta vaksin Tuan Bakery. Lubang dibor di sekeliling pokok sebelum diisi dengan kombinasi H-Tec serta vaksin. Lubang-lubang tersebut kemudian ditutup dengan potongan ranting kayu serta guli ( satu inovasi Tuan Bakery ). Harapan kami semoga teknik yang mudah ini berjaya memberikan hasil yang berkualiti tinggi.

Pokok ketiga - kombinasi kaedah H-Tec serta vaksin Tuan Bakery. Lubang-lubang telah ditutup dengan ranting kayu serta guli.
Gambar dekat lubang ditutup dengan guli.
Kelancaran proses inokulasi amatlah memberangsangkan. Perbincangan juga rancak berjalan seiring dengan proses inokulasi. Hasilnya, pelbagai ilmu baharu dan lama telah dapat dikongsikan bersama. Begitu juga perkembangan terkini dalam dunia tanaman karas di Malaysia.

Contoh hasil suntikan inokulan Tuan Bakery pada usia 1 tahun 8 bulan - wangi walaupun belum dibakar
Mudah-mudahan paparan kali ini dapat membangkitkan semangat teman-teman untuk terus berusaha ke arah kejayaan.

Wassalam dan Selamat Hari Malaysia!


Monday 9 September 2013

BROGARD - Berita Terkini...

Salam warahmatullah,

Ramai yang telah bertanya perihal Brogard; berapa harga dan di mana ianya boleh didapati.

Sebentar tadi, saya telah berhubung dengan pengeluar Brogard tersebut dan beliau telah memberikan butiran-butiran di bawah ini untuk saya kongsikan dengan pembaca sekelian.

Brogard terdapat di dalam beberapa versi, bagaimanapun yang amat disarankan oleh pengeluarnya sendiri adalah di dalam bentuk pekatan seperti gambar di bawah:


Harga bagi pekatan Brogard ini adalah RM200 dan boleh didapati daripada Amatic Gates Sdn Bhd yang berpengkalan di Bentong, Pahang. Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan En Sharul di talian 09-2221800 atau melalui faks di talian 09-2222800.

Untuk penggunaan, campurkan 50ml pekatan Brogard dengan 20 liter air kemudian semburkan ke seluruh pokok, batang serta daun bagi menghapuskan serangga perosak. Waktu terbaik untuk melakukan semburan adalah selepas waktu Maghrib mengikut kata pengeluar Brogard.

Biarpun kegunaan utama Brogard adalah untuk menghapuskan serangan serangga perosak, ia juga dapat berfungsi sebagai baja kepada tumbuhan tersebut.

Diharapkan makluman ini berguna kepada para pembaca sekelian..

Wassalam.



Kembali Bertemu...

Salam warahmatullah,

Ramadhan telah berlalu begitu juga dengan Syawal. Minggu lalu barulah saya berkesempatan mengunjungi semula tapak projek.

Beberapa batang pokok yang tumbang telah ditegakkan semula dan ditongkat begitu juga pokok-pokok yang senget kerana tiupan angin. Selain dari kejadian sebahagian pokok karas yang tumbang dan senget, secara amnya pokok-pokok karas kesemuanya tumbuh dengan baik.

Setelah membuat pemeriksaan dari pokok ke pokok, saya telah membuat keputusan untuk menginokulasikan beberapa batang pokok. Antara tujuannya adalah untuk menguji inokulan yang telah dibuat oleh En Malek serta Tuan Bakery.

Berdasarkan rekod inokulasi di Semenyih, inokulan yang dibuat oleh Tuan Bakery adalah amat efektif dan berjaya menghasilakn gaharu yang berkualiti tinggi. Insyallah kerja-kerja inokulasi itu akan dilakukan pada Ahad, 22hb September yang akan datang. Mudah-mudahan rancangan ini akan berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang lumayan, amin.



Monday 22 April 2013

Setelah sekian lama....

Salam warahmatullah,

Agak lama saya tidak menulis di blog, begitu juga tidak melawat tapak projek, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pelbagai peristiwa yang berlaku tidak memungkinkan saya untuk melawat tapak projek dan menulis di blog ini.

Bagaimanapun, penghujung minggu yang lalu saya telah berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa melawat tapak projek. Agak menyedihkan melihat beberapa batang pokok karas yang tumbang atau senget kerana dilanda angin. Apapun, pertumbuhan pokok amat memuaskan. Pokok-pokok yang tumbang itu telah saya tongkatkan supaya tidak rebah lagi. Mudah-mudahan...jika angin tidak terlalu kuat.

Inilah antara cabaran yang terpaksa dilalui jika ingin berjaya. Cabaran demi cabaran terpaksa dilalui dengan tabah dan sabar.

Pun begitu, ada juga berita gembira yang diterima. Saya diberitahu, rakan kami yang juga menanam pokok karas tidak berapa jauh dari tapak kami, telah melakukan inokulasi ke atas pokok-pokok karas beliau. Berapa banyak pokok karas yang diinokulasi begitu juga teknik yang digunakan, tidaklah saya ketahui kerana belum bertemu dengan beliau. Mudah-mudahan usaha beliau itu akan membuahkan kejayaan.

Insyallah, seminggu-dua lagi saya akan ke tapak projek lagi untuk menyambung kerja-kerja yang telah tertangguh sekian lama.

Wassalam.