...

LAZADA

Lazada Malaysia

Wednesday 29 October 2014

Lawatan Tapak & Inokulasi Gaharu Lagi

Salam warahmatullah,

Siang tadi saya ke tapak projek sekali lagi untuk melihat perkembangan inokulasi gaharu menggunakan vaksin pemberian Abang Mat Siam yang bermasalah.

Vaksin masih lagi seperti jeli dan tidak menyerap ke dalam pokok. Bagi mengatasi masalah itu, saya membuat dua lubang baru dan mengubah vaksin ke lubang tersebut. Harap-harap tindakan ini akan berjaya mengatasi masalah yang terjadi.

Peluang berada di lokasi juga tidak saya sia-siakan di mana tiga batang lagi pokok karas telah dapat saya inokulasi sebelum hujan menerpa. Kali ini, inokulasi dilakukan dengan vaksin olahan saya sendiri. Dan, pokok-pokok tersebut telah diberi tanda dengan cat sembur warna kuning. Semoga Allah merahmati usaha ini dan mengurniakan gaharu yang berkualiti, insya-Allah. Amin ya rabbal alamin.




  

Wassalam.

 

Monday 27 October 2014

Perkembangan Inokulasi Gaharu...

Salam warahmatullah,

Pagi ini saya telah melawat tapak projek untuk melihat perkembangan inokulasi gaharu yang telah dilakukan pada 1 Muharram tempohari.

Secara amnya, inokulasi berjalan lancar kecuali bagi inokulasi menggunakan vaksin dari Thailand pemberian Abang Mat Siam. Sebatang pokok karas yang disuntik dengan vaksin tersebut menyerap dengan baik manakala sebatang pokok lagi menghadapi sedikit masalah. Masalahnya adalah... terjadinya semacam jeli di dalam lubang suntikan serta di muncung hos hingga menghalang cairan vaksin daripada masuk ke dalam batang pokok karas seterusnya diserap oleh pokok.

Melihat masalah tersebut saya segera menghubungi Abang Mat Siam untuk bertanyakan hal tersebut. Namun, Abang Mat Siam tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu dan beliau berjanji akan menghubungi teman beliau di Thailand untuk bertanyakan masalah tersebut.

Apapun, secara amnya usaha inokulasi tersebut bolehlah diputuskan sebagai berjaya. Insya-Allah saya akan melakukan lawatan seterusnya setelah mendapatkan maklum-balas daripada Abang Mat Siam dalam sehari-dua lagi. Insya-Allah...

Wassalam.


Saturday 25 October 2014

Kelulut Lagi...

Salam warahmatullah,

Coretan singkat ini hanyalah untuk berkongsi sedikit ilmu hasil dari kumjungan saya dan En Malek ke Wafiqah Farm & Nursery di Sungai Tekali, Hulu Langat pada hari Khamis yang lalu.

Kunjungan kami disambut oleh barisan sarang kelulut yang baru sampai dari Narathiwat, Thailand. Menurut Tuan Faizul, ada sekitar 100 sarang kelulut lagi akan sampai sedikit masa lagi. Satu sarang berserta koloni kelulut dijual oleh beliau pada harga RM700. Bagi sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan sarang kelulut, bolehlah menghubungi Tuan Faizul melalui no. 010-2205745.

Dari pemerhatian saya, koloni kelulut beliau hampir sama dengan koloni kelulut Dr Ibrahim. Bagaimanapun, sistem sarangnya adalah berlainan. Sistem sarang kelulut beliau sama seperti sistem sarang kelulut Abang Nasri manakala sistem sarang kelulut Dr Ibahim lebih menyerupai sistem sarang lebah madu. Dari aspek famili kelulut pula, famili kelulut Tuan Faizul dan Dr Ibrahim hampir sama tetapi famili kelulut Abang Nasri adalah lebih besar disamping mempunyai sedikit warna merah pada badannya.



Seronok juga melihat koloni kelulut berterbangan mencari madu dan kemudian kembali ke sarang masing-masing. Hajat dihati memang ada untuk memiliki sarang kelulut tetapi belum mempunyai infrastruktur yang sesuai. Insya-Allah akan tercapai juga hasrat itu suatu hari nanti mudah-mudahan. Amin.

Wassalam.


1 Muharram 1436 Hijri - Hijrah Kepada Inokulasi Gaharu

Salam warahmatullah,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan Marhaban ya Muharram; selamat datang kepada bulan Muharam yang mulia. Dengan berinjaknya tahun maka usaha juga perlu diinjakkan kepada yang lebih baik.

Untuk itu, siang tadi saya telah ke tapak projek bersama-sama En Malek untuk melakukan aktiviti inokulasi gaharu. Dan, kami telah berjaya menginokulasikan enam batang pokok karas menggunakan dua jenis vaksin gaharu.

Empat batang pokok telah diinokulasikan dengan vaksin B1 manakala dua batang pokok lagi telah diinokulasikan dengan vaksin dari Thailand pemberian Abang Mat Siam. Untuk pengetahuan, vaksin B1 adalah vaksin keluaran Tuan Bakery yang telah diolah berasaskan formula yang telah saya berikan kepada beliau 4 tahun yang lalu. Sementara itu, vaksin dari Thailand diberikan kepada saya oleh Abang Mat Siam dengan tujuan untuk penyelidikan.

Sebagai tanda pengenalan vaksin mana yang digunakan ke atas pokok yang mana; saya telah memberi tanda menggunakan cat sembur berlainan warna. Cat sembur berwarna biru bagi vaksin B1 manakala cat sembur berwarna merah untuk vaksin dari Thailand.








Selepas ini nanti, saya akan lakukan pula aktiviti inokulasi gaharu menggunakan vaksin olahan saya sendiri...insya-Allah.

Mudah-mudahan bersempena permulaan tahun Hijrah yang baru, akan membawa keberkatan dalam usaha-usaha yang sedang dijalankan. Amin ya rabbil alamin.

Wassalam.



Wednesday 15 October 2014

Flower Hormone

Salam warahmatullah,

Hari ini saya memulakan pembuatan Flower Hormone. Sekiranya usaha ini berjaya, Flower Hormone ini nanti akan berfungsi merangsang pokok untuk berbunga dengan lebat. Ia sesuai untuk kegunaan ke atas pokok bunga-bungaan begitu juga pokok buah-buahan.

Teknik membuat Flower Hormone adalah dengan cara mengekstrak enzim daripada bunga-bungaan. Setelah diproses, enzim ini perlu dicairkan sebelum dijadikan semburan foliar. Pun begitu, proses mengekstrak enzim ini akan mengambil masa sekitar 2 - 3 minggu sebelum boleh digunakan.

Apapun, yang pentingnya adalah Flower Hormone ini adalah 100% organik dan bebas daripada bahan kimia beracun. Oleh itu, ia tidak berbahaya kepada alam sekitar, haiwan mahupun manusia. Ingatlah pesan Allah supaya kita tidak berbuat kerosakan di atas mukabumi.

Saya berkeinginan untuk membuat Flower & Fruiting Hormone khas untuk pokok durian. Tetapi, belum berkesempatan kerana belum mendapat bahannya. Tuan Bakery masih belum membekalkan bunga serta putik durian seperti yang dijanjikan. Harap-harap saya akan mendapat bekalan bahan-bahan tersebut tidak lama lagi. Mudah-mudahan jika projek ini berjaya, ia akan dapat menggalakkan pokok durian untuk berbunga dengan lebat seterusnya berputik dan menghasilkan buah durian yang lebih banyak bagi setiap pokok berbanding sekarang. Doakan semoga projek ini dapat berjalan seperti yang dirancangkan dan mendapat kejayaan.

Wassalam.