...

LAZADA

Lazada Malaysia

Sunday, 18 May 2014

Bertemu Abang Mat Siam Sekali Lagi...

Salam warahmatullah,

Pagi tadi, saya telah berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Mat Siam sekali lagi di rumah beliau di Dong, Raub. Kunjungan kali ini turut disertai bapa, adik, 2 orang anak saya, 2 orang abang saudara serta seorang kenalan.

Perkara pertama sekali yang menarik perhatian saya sebaik tiba di rumah beliau adalah beberapa pasu mengandungi tanaman cili yang buahnya sungguh panjang. Menurut Abang Mat, cili-cili tersebut panjangnya adalah 10 inci. Sungguh menakjubkan. Itupun yang tinggal pada beliau pokoknya sudah kurang segar. Menurut beliau, baru sahaja beberapa hari sebelum itu 4 pasu tanaman cili tersebut diambil oleh seorang penghulu dari kawasan sekitar.

Apa yang lebih menarik, Abang Mat bercerita bahawa variasi cili yang beliau tanam itu adalah dari jenis Kulai yang pada kebiasaannya berukuran sekitar 5 - 6 inci. Malahan menurut beliau, pengusaha Cina dari Kulai yang menghasilkan benih variasi cili Kulai itu sendiri tidak percaya apabila diberitahu cili variasi beliau yang ditanam oleh Abang Mat sepanjang 10 inci. Pengusaha Cina tersebut sanggup bertaruh dengan kawannya sebanyak RM1000 bahawa cili variasi beliau tidak boleh mencapai panjang 10 inci. Namun, apabila beliau serta kawannya itu berkunjung ke rumah Abang Mat ternyata beliau salah dan terpaksa membayar kepada kawannya itu RM1000.

Cerita Abang Mat lagi, beberapa orang petani Jepun telah menyatakan keinginan untuk berkunjung ke rumah beliau tidak berapa lama lagi. Petani-petani Jepun itu menyatakan hasrat tersebut setelah melihat gambar-gambar rock melon yang ditanam oleh Abang Mat yang mencapai saiz 2.6kg sebiji. Gambar-gambar tersebut telah dibawa oleh anak Abang Mat yang telah ke Jepun tidak berapa lama dahulu bagi mengikuti kursus pertanian di sana.

Tabik Abang Mat! Caya la!

Mendengar cerita-cerita Abang Mat memang melekakan. Hingga terlupa misi ke rumah beliau itu. Banyak lagi cerita-cerita yang dikongsikan oleh Abang Mat tetapi tidak dapat saya kongsikan di sini.

Setelah lama mendengar cerita-cerita Abang Mat, barulah kami kembali kepada motif sebenar saya yang tidak lain dan tidak bukan adalah berkenaan EM. Apabila sahaja saya menyebut perihal EM-X, Abang Mat lantas bangun dan masuk ke dalam rumah dan kemudian kembali semula dengan satu botol berisi cecair berwarna kuning. Itulah EM-X yang beliau usahakan sendiri. Canggih betul Abang Mat ni...sentiasa berada di hadapan.

Setelah itu, beliau mengambil dua biji gelas berisi air sejuk dan menyuruh saya mencampurkan sedikit kandungan botol yang beliau berikan kepada saya tadi dengan air sejuk itu dan merasanya. Bergas dan rasa seperti cuka buah. Hmm....sedap jugak!

Sekali lagi...tabik Abang Mat! Sentiasa maju ke hadapan.

Menurut Abang Mat, apabila memproses EM samada untuk pertanian atau untuk dijadikan minuman kesihatan, kita kena pastikan ia mempunyai gas yang mencukupi. Jika tidak, EM itu tidak sempurna jadinya. Tidak menepati piawaian beliau. Apabila saya bagi tau Abang Mat, banyak blog-blog dan portal-portal pertanian mengatakan EM yang sempurna mesti mempunyai pH 3.5, beliau mengatakan pada pandangan beliau perkara itu tidak tepat kerana EM sentiasa berevolusi bergantung kepada persekitarannya. Hmm....mungkin ada betulnya jugak kata-kata Abang Mat tu! Dan lagi kata Abang Mat, apabila membuat EM, kita kena pastikan dahulu apa tujuannya barulah difikirkan apa bahannya yang bersesuaian. Jangan hentam keromo je! Walaupun EM itu nanti menjadi, tetapi tidak menepati tujuan kegunaannya dan berkemungkinan tidak dapat digunakan langsung.

Berborak dengan Abang Mat sememangnya melekakan. Banyak cerita menarik yang dikongsikan di samping banyak perkara baru yang dapat dipelajari. Tidak sedar waktu yang berjalan. Kalau hanya saya seorang sahaja yang berkunjung, pasti lama lagi saya di situ. Apapun...terima kasih Abang Mat kerana sudi menerima kunjungan kami semua. Begitu juga dengan jamuan pulut tanak dengan sambal tumis ikan bilis serta ayam goreng dan air kopi O.

Terima kasih daun keladi, lain kali saya akan kembali lagi. Hehehehehe...

Wassalam.


No comments:

Post a Comment