...

LAZADA

Lazada Malaysia

Sunday 3 May 2015

Sembang Gaharu Siri 3

Salam warahmatullah,

Semalam saya dan En Malek telah berpeluang menghadiri satu siri bengkel penanaman karas dan penghasilan gubal gaharu yang dianjurkan oleh Datuk Haji Abdul Razak Haji Ali, tuanpunya syarikat BioBenua Teknologi Sdn Bhd. Bengkel tersebut telah diadakan di Nusa Dusun Eco Resort, Kuala Linggi, Melaka. Bengkel yang bermula dari jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 1.30 petang itu telah dihadiri oleh lebihkurang 100 orang penanam serta peminat tanaman karas.

Banyak juga info-info serta ilmu baharu yang dapat saya pelajari dari bengkel tersebut. Apa yang menariknya adalah segala yang diutarakan di bengkel tersebut adalah hasil pengalaman peribadi Datuk Haji Abdul Razak serta syarikat beliau, BioBenua Teknologi Sdn Bhd.

Datuk Haji Abdul Razak sedang menyampaikan ceramah beliau.

Adik Datuk Razak, Roslan Hj Ali sedang memberikan penerangan.


Antara aspek-aspek yang diperbincangkan adalah teknik penanaman dan penjagaan pokok karas, jenis-jenis vaksin dan kaedah-kaedah inokulasi, hasil gaharu, pembuatan minyak serta pemasaran gubal gaharu. Oleh kerana bengkel tersebut adalah bersifat santai, maka para peserta bebas untuk mengajukan soalan-soalan mereka yang kemudiannya dijawab oleh Datuk Haji Abdul Razak serta adik beliau Roslan Hj Ali dengan sebaik mungkin.

Para peserta kemudiannya dibawa ke ladang contoh dan diberikan tutorial praktikal bagaimana untuk menginokulasi pokok karas menggunakan teknik yang telah diperkemaskan oleh BioBenua Teknologi Sdn Bhd. Dua teknik inokulasi telah dipertunjukkan; satu adalah teknik 'spiral' manakala satu menggunakan alat suntikan 'ChemJet'.

Alat suntikan 'ChemJet'
Teknik 'spiral' serta teknik 'ChemJet' yang diperlihatkan kepada para peserta.
Contoh hasil gaharu menggunakan teknik 'spiral'.


Di sepanjang berjalannya bengkel tersebut, minuman teh gaharu dan kuih-muih sentiasa tersedia untuk santapan para peserta. Tidak hanya itu, tengaharinya pula kami dijamu dengan Nasi Biryani Gaharu serta lauk-pauk yang sedap-sedap belaka.

Setelah jamuan makan tengahari selesai, kami dibawa untuk melihat kilang memproses minyak gaharu di mana beberapa buah dapur sedang memasak kayu gaharu untuk menghasilkan minyak gaharu. Terdapat sekitar 7 buah dapur bersaiz kecil dan 15 buah dapur bersaiz besar di dalam kilang tersebut, Menurut Datuk Haji Abdul Razak, syarikat beliau bersedia untuk melakukan kerja-kerja memproses minyak gaharu bagi sesiapa yang berminat.





Bengkel diakhiri dengan promosi barangan keluaran syarikat BioBenua Teknologi Sdn Bhd seperti vaksin Black Gold Bio Booster yang telah memenangi pingat perak pada MaGIC 2014, sabun gaharu dan setanggi gaharu.

Vaksin gaharu Black Gold Bio Booster keluaran BioBenua Teknologi Sdn Bhd.


Bagi mereka-mereka yang berhajat untuk menghubungi Datuk Haji Abdul Razak, sila lihat di bawah:


Sembang Gaharu Siri 4? Insya-Allah akan diadakan dan saya akan berusaha untuk menghadirkan diri.

Wassalam.



1 comment:

  1. Assalamualaikum Datuk
    Saya ada tanam pokok karas pada 2007 35 pokok
    Bagaimana boleh komersialkan.
    Kos utk inokulasi

    ReplyDelete