...

LAZADA

Lazada Malaysia

Saturday 3 January 2015

Apakah Itu Inokulan?....Sambungan

Salam warahmatullah,

Nukilan hari ini adalah sambungan daripada nukilan bertarikh 28hb Oktober 2011. Persoalan yang diajukan di akhir nukilan tersebut adalah....Bolehkah inokulan dibuat sendiri?

Untuk membolehkan kita membuat sendiri inokulan, pertama-tama sekali kita perlu tahu apakah bahan yang boleh merangsang pokok karas untuk bertindakbalas hingga mengeluarkan resin.

Orang asli dahulukala menggunakan teknik menakik batang pokok karas bagi merangsangnya untuk mengeluarkan gaharu. Takikan ini dilakukan secara berjadual dan hasilnya mereka berupaya untuk mendapatkan hasil gaharu secara berterusan tanpa menebang pokok tersebut.

Saya pernah diberitahu bahawa suatu ketika dahulu ada sebahagian penanam gaharu di Thailand menyuntik pokok karas mereka dengan minyak gasolin. Teknik ini berjaya membuatkan pokok karas mengeluarkan resin gaharu tetapi hasilnya tidak baik kerana gaharu tersebut berbau minyak gasolin apabila dibakar.

Sekiranya anda melawati blog-blog gaharu Indonesia, anda pasti akan seringkali bertemu dengan perkataan Fusarium. Rata-rata penanam gaharu Indonesia menggunakan inokulan yang mengandungi Fusarium sp sebagai bahan utama. Dan, mereka begitu yakin bahawa Fusarium sp mampu menghasilkan gaharu bergred Super A.

Terdapat pelbagai jenis inokulan dijual di pasaran tempatan. Kebanyakannya adalah dalam bentuk cecair namun terdapat juga yang didatangkan di dalam bentuk tepung atau jeli. Sebahagian penanam gaharu di Malaysia yang saya kenali menggunakan "ibu inokulan" yang didatangkan daripada Jepun kerana menurut mereka kualitinya adalah amat baik dan menjamin penghasilan gaharu yang maksima.

Di Indonesia, Fusarium sp juga ada yang dijual dalam bentuk tepung yang kemudiannya boleh dibancuh dengan bahan-bahan lain untuk menghasilkan inokulan menurut citarasa masing-masing.

Seorang penanam gaharu tempatan yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang ini pernah menunjukkan kepada saya "ibu inokulan" dalam bentuk jeli yang menurut beliau diperbuat sendiri. Menurut beliau, "ibu inokulan" tersebut apabila dilarutkan boleh digunakan bagi menyuntik ribuan pokok karas. Apabila saya tanyakan samada beliau mempunyai rancangan untuk menganjurkan kelas membuat inokulan, jawab beliau, beliau belum mempunyai rancangan seperti itu. Dan lagi kata beliau, beliau perlu mendapatkan restu daripada guru beliau terlebih dahulu. Menurut beliau lagi, beliau mengambil masa beberapa tahun merantau ke seluruh pelusuk negara termasuk negara jiran bagi mendapatkan ilmu tersebut.

Rumusannya...inokulan boleh diperbuat sendiri. Apa yang diperlukan adalah semangat dan usaha yang berterusan bagi mendapatkan ilmu tersebut.

Wassalam.







No comments:

Post a Comment