Pagi ini saya telah berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Nasri di pejabat beliau di Batu 10, Gombak. Sudah lama benar tidak bertemu beliau. Kali terakhir adalah pada 1 Jun 2011. Tak sedar...sudah 3 tahun rupanya!
Saya tiba di pejabat beliau jam 9.00 pagi. Abang Nasri segera menghulur salam dan bertanya ke mana saya menghilang sekian lama. Yang pentingnya...beliau masih kenal dan ingat kepada saya.
Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah barisan sarang kelulut pelbagai saiz. Nampaknya semakin ramai pengusaha karas turut mengusahakan ternakan kelulut. Juga kelihatan sarang kelulut yang sedang dalam pembinaan di mana menurut Abang Nasri ia adalah bagi memenuhi pesanan daripada Singapura.
Sarang kelulut tidak seperti sarang lebah madu kerana ia tidak memerlukan 'vertical frame'. Cukup dengan sebuah kotak bersaiz kotak pizza yang kosong di dalamnya dan disediakan sebuah lubang kecil sebagai laluan keluar-masuk kelulut.
Penternakan kelulut ini menurut Abang Nasri adalah bagi memenuhi masa lapang di samping dapat menyediakan pendapatan sementara menunggu pengeluaran gaharu yang mengambil masa yang lama.
Abang Nasri turut membekalkan koloni kelulut kepada sesiapa yang memerlukannya. Terdapat 2 jenis kelulut yang disediakan iaitu kelulut hitam dan kelulut merah. Kata Abang Nasri, kelulut merah adalah lebih baik kerana madunya lebih berkhasiat di mana kajian oleh Universiti Sains Malaysia menunjukkan bahawa madu kelulut merah adalah amat baik bagi pesakit kanser.
Setelah agak lama berbicang tentang kelulut, kami kembali ke topik asal yang ingin saya bincangkan dengan Abang Nasri iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah berkenaan penanaman dan penghasilan gaharu.
Abang Nasri memberitahu bahawa beliau melakukan inokulasi ke atas satu-satu pokok karas sebanyak 3 kali setahun dan inokulasi tersebut berterusan selama 3 tahun. Kemudian, setelah ujian dilakukan dan mendapati terdapat resin gaharu, maka pokok tersebut akan dibiarkan matang selama 1 atau 2 tahun lagi sebelum gaharunya dikeluarkan.
Kesempatan bertemu Abang Nasri juga saya manfaatkan dengan menunjukkan kepada beliau gaharu yang telah dihasilkan daripada inokulasi pada September tahun lalu. Gaharu tersebut terpaksa dikeluarkan kerana pokok karas tersebut telah mati akibat dihempap dahan durian. Menurut Abang Nasri, gaharu tersebut masih belum sempurna kerana belangnya kurang. Bagaimanapun, ia masih berharga dan sesuai untuk dijadikan pati gaharu.
Saya juga telah bertanya Abang Nasri tentang dapur gaharu beliau di mana menurut beliau telah diserahkannya kepada seorang muridnya di Gemas. Menurut Abang Nasri, 14kg kayu gaharu diperlukan bagi menghasilkan 14ml pati gaharu dan proses tersebut akan mengambil masa selama 48 jam untuk diselesaikan.
Memang banyak ilmu yang dapat ditimba dari Abang Nasri jika rajin bertemu dan bertanya kepada beliau. Kenyataannya...beliau seorang yang tidak lokek ilmu.
Satu jam setengah bersama Abang Nasri, saya memohon diri untuk pulang. Pulang bersama tambahan ilmu dan pengalaman. Alhamdulillah...
Insya-Allah saya akan cuba untuk meluangkan lebih masa untuk sering bertemu dan belajar daripada Abang Nasri.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment