...

LAZADA

Lazada Malaysia

Tuesday, 24 June 2014

Bersama En Malek...

Salam warahmatullah,

Pagi tadi saya telah ke Langat bersama dengan En Malek. Kami bertemu di Pekan Batu 14 sekitar jam 8:30 pagi dan kemudiannya bersarapan di Restoran Nasi Dagang di Taman Desa Sentosa. Sekitar jam 9:00 pagi, kami bergerak ke tapak projek dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.

Perkara pertama yang kami lakukan adalah melihat pokok karas yang telah disuntik dengan inokulan En Malek pada September tahun lalu. Tujuannya adalah supaya En Malek dapat melihat sendiri keberkesanan inokulan beliau.

Kemudiannya, kami pergi melihat buah-buah karas bagi memastikan samada ia telah matang atau belum. Jelasnya, masih belum matang lagi dan dijangkakan akan matang sekitar beberapa minggu lagi.

Dengan kesempatan yang ada, En Malek mengajak saya untuk meninjau projek karas Saudara Zubir. Setibanya di hadapan kebun karas beliau, kami dapati kawasan kebun karas beliau telah dipasang dengan pagar elektrik. Namun, daripada tinjauan kami tidak kelihatan tanda-tanda pokok-pokok karas beliau telah diinokulasikan. Entah le! Hanya melihat dari luar maka tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Lawatan kami tergendala sebentar apabila Landlord menghantar sms meminta bantuan untuk mengambil beberapa barangan daripada kedai hardware di Pekan Batu 18 untuk kegunaan pekerja beliau yang sedang memasang netting bagi melindungi chalet daripada dihujani buah durian yang bakal gugur ke atasnya.Kira-kira satu jam juga diperlukan bagi kerja-kerja tersebut.

Kembali dari kedai hardware, saya menunjukkan kepada En Malek teknik inokulasi yang telah saya gunakan pada 15 Jun yang lalu. Ternyata En Malek tertarik dengan teknik Micro-Holes Multiple-Boring System tersebut yang pada perkiraan beliau adalah lebih mudah dan efisien. Ini adalah kerana menggunakan teknik tersebut pokok karas boleh diinokulasi sehingga ke pangkal-pangkal dahan.

Bagi tujuan ilustrasi, saya telah menginokulasi semula 2 batang pokok yang telah diinokulasi pada 15 Jun yang lalu dan membuat beberapa lapisan inokulasi sehingga kepada ketinggian sekitar 5 kaki.

Menggunakan teknik ini, inokulasi boleh dibuat secara berlapis-lapis tanpa menggunakan banyak inokulan. Teknik ini juga boleh diulang semula beberapa bulan kemudian bagi mempertingkatkan kebarangkalian penghasilan gaharu, kualiti serta kuantitinya. Menggunakan teknik ini juga, gaharu boleh dipungut secara berperingkat; bermula dari dahannya dan secara berkala turun kepada pangkalnya.

Ini memberi peluang kepada penanam karas untuk mendapatkan hasil secara berterusan; bermula dari gaharu bergred C atau B daripada dahan-dahan serta pucuknya dan akhir sekali mendapatkan teras gaharu bergred A Super daripada pangkalnya. Teknik ini pernah disampaikan kepada saya oleh Dr Ibrahim beberapa tahun yang lalu. Satu lagi kelebihan teknik ini adalah ia boleh dilakukan ke atas pokok-pokok karas dengan ukurlilit yang kecil tanpa merosakkannya. Insya-Allah...

Untuk pengetahuan, inokulasi telah dilakukan menggunakan inokulan IG-M1.

Kami bergerak pulang sekitar jam 12:50 tengahari dan berhenti makan sebentar di sebuah warung bersebelahan IKBN. Setelah berpisah di Pekan Batu 14, saya tiba di rumah sekitar jam 2:40 petang.

Sekian coretan untuk hari ini, wassalam.



No comments:

Post a Comment