Hari Jumaat lalu, saya telah pulang ke Segamat kerana ada urusan peribadi. Pada hari Ahadnya, sewaktu pulang ke KL, saya telah sempat singgah di Kg Payamas Dalam, Tangkak melawat kebun karas En Malik.
Sungguh menakjubkan! Rata-rata, pokok-pokok karas yang beliau tanam sekitar 2 tahun lalu, kesemuanya telah membesar hingga sekitar 14 kaki tinggi dan diameter batang sekitar 6-8 inci. Tak hairan jika sekarang ini En Malik begitu memberi tumpuan kepada projek karas beliau. Hingga adakalanya beliau akan berada di kampung hingga satu bulan pada satu-satu masa.
Sudah lama saya meminta En Malik untuk memberikan saya gambar-gambar projek beliau itu . Namun, tidak kesampaian hingga sekarang. Melihat dari keadaan tapak projek beliau, menambahkan keyakinan saya bahawasanya pokok karas amat memerlukan lindungan untuk membesar dengan baik. Saya segera teringatkan gambar dari internet yang menunjukkan seorang perempuan Vietnam berdiri di hadapan sebatang pokok setinggi sekitar lebih 20 kaki dan dikatakan berusia 3 tahun. Jika dibandingkan dengan pokok-pokok karas En Malik, saya percaya ada kebenarannya. Yakni, pokok karas boleh mencapai ketinggian melebihi 20 kaki serta mempunyai diameter sekitar 10 inci dalam jangkamasa 3 tahun ditanam. Dan, jika prestasi tumbesaran ini berterusan, tentu sahaja pokok-pokok karas tersebut boleh diinokulasi apabila berusia 4 tahun.
Memang sungguh mengujakan melihat pokok-pokok karas En Malik. Tambahan pula, beliau sememangnya memberikan perhatian serius kepada projek tanaman karas beliau itu. Sentiasa sahaja berada di lapangan memberikan penjagaan terbaik kepada pokok-pokok karas beliau. Hakikat ini amat berbeza dengan projek di Sg Lopoh. Sekiranyalah setiap minggu ada peserta projek yang dapat meluangkan masa menjenguk, menjaga dan membelai pokok-pokok karas di situ, tentunya prestasi tumbesaran pokok-pokok karas tersebut lebih baik dari sekarang. Tapi apakan daya... lebih ramai yang tidur dari yang jaga, lebih ramai yang pandai berkata-kata dari mengeluarkan tenaga dan wang belanja. Mahu tak mahu kena terimalah apa yang ada!
Apapun, insyalllah projek Sg Lopoh itu akan diteruskan biarpun cuma 2 orang yang berusaha untuk menjayakannya kerana usaha itu tangga kejayaan. Dan...apa yang penting sekarang ini adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah tanah yang kurang bermutu dan memperbaikinya. Penggunaan Brogard sedikit sebanyak ada menampakkan perkembangan namun masih tidak mencukupi. Kini, Basal2000 telah berada di dalam tangan dan insyallah akan disembur pada hujung minggu nanti. Harap-harap akan ada perkembangan yang lebih baik dan memberangsangkan. Amin!!!
Mengakhiri posting kali ini, dipaparkan beberapa gambar yang diambil di kebun karas En Malik.
Wassalam.
Satu kelompok anak karas yang belum ditanam. |
Satu kelompok lagi anak karas sedia untuk ditanam. |
No comments:
Post a Comment