Monday, 28 May 2012
Minggu Ke-22 Tahun 2012
Salam warahmatullah,
Sudah 22 minggu berlalu dan hanya tinggal 30 minggu sebelum tahun 2012 berakhir. Seperti biasa, aktiviti hujung minggu kali ini berpusat di tapak projek di Sg. Lopoh, Hulu Langat.
Sebaik sampai di lokasi, saya terus memeriksa pokok-pokok karas. Beberapa pokok karas diserang semula oleh 'armyworm', namun tidak begitu teruk serangan tersebut. Di samping itu, beberapa pokok karas yang lain dihinggapi oleh kutu pokok. Memandangkan sudah lebih sebulan tiada semburan Brogard dilakukan, saya terus sahaja membancuh Brogard dan menyemburnya. Jam ketika itu sekitar 6:30 petang. Selesai menyembur sekitar jam 7:15 petang. Waktu yang sesuai seperti yang disarankan oleh pengeluarnya.
Berdasarkan pemerhatian, kemungkinan berulangnya serangan ulat 'armyworm' adalah dari banyaknya pokok pisang di sekeliling tapak projek. Dalam posting yang lalu, saya pernah menyebut bahawa ulat 'armyworm' ini kelihatan seperti ulat pokok pisang, yakni ulat yang biasa didapati di dalam gulungan daun pisang. Biarpun semburan Brogard telah dibuat, ulat 'armyworm' ini masih berupaya menyerang sekitar 5 minggu selepas semburan Brogard. Maknanya, keupayaan Brogard boleh bertahan sehingga 5 minggu sebelum perlu disembur semula.
Sementara itu, saya menerima maklumat daripada En Malik pada hari Selasa lalu bahawa beliau telah pun berjaya mendapatkan baja Basal2000. Diharapkan dengan adanya baja ini nanti akan dapat membantu memperbaiki pertumbuhan pokok-pokok karas di samping mengawal rumput-rumpai. Dari info yang didapati, selain daripada berupaya meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran hasil, baja Basal2000 juga berupaya mengawal rumput-rumpai kerana ia bersifat 'anti-green'. Penggunaan secara berterusan akan menjadikan ladang atau kebun bersih dan terjaga daripada rumput dan rumpai. Ujian semburan pertama Basal2000 akan dilakukan sebaik sahaja En Malik kembali ke KL. Mungkin hujung minggu kedua bulan Jun 2012. Nantikan perkembangannya!
Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan ialah ujian suntikan inokulan buatan sendiri ke atas 2 batang pokok di Semenyih kini sudah memasuki usia 1 tahun. Sebatang pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula NZ dan sebatang lagi pokok karas telah diinokulasi menggunakan Formula Y. Di dalam posting bertarikh 24 Disember 2011, saya ada menyebut perihal perkembangan ujian inokulasi tersebut. Kini, hanya enam bulan lagi sebelum pokok-pokok yang telah diinokulasi itu dapat ditebang dan hasilnya diambil. Berdasarkan lawatan yang lalu, insyallah hasilnya pasti menakjubkan.
Sekian dahulu buat masa ini. Insyallah bertemu kembali sekitar 2 minggu dari sekarang.
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment