Salam warahmatullah,
Hajat hari ini untuk menyulam anak pokok tidak kesampaian dek kerana hujan lebat sepanjang pagi
di Hulu Langat. En Malek yang begitu bersemangat, beliau tiba kira-kira jam 8:20 pagi, pun tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Segala perancangan untuk pagi tadi terpaksa dibatalkan.
Pun begitu, sempat jugalah kami meninjau keadaan anak-anak pokok. Kelihatannya masih banyak yang diserang oleh ulat. Tinjauan En Malek ke tapak projek Saudara Zubir juga mendapati banyak daripada pokok-pokok karas beliau yang sudah berusia sekitar 3 tahun juga diserang oleh ulat yang sama.
Nampaknya, satu analisis terperinci perlu dibuat untuk mengenali ulat tersebut dengan lebih mendalam di samping mencari solusi yang berkekalan. Ini kerana pokok-pokok karas di projek Saudara Zubir yang sentiasa disembur dengan racum kimia pun masih diserang oleh ulat tersebut.
Menurut En Malek, ada juga beberapa batang pokok karas di tapak projek beliau di Tangkak yang diserang oleh ulat yang sama. Observasi beliau mendapati tiada beburung yang mahu memakan ulat-ulat tersebut. Mungkin kerana ulat-ulat tersebut beracun. Wallahu a'lam.
Dari observasi, racun organik yang digunapakai di projek FM serta BOG hanya berkesan sekitar 2 minggu sahaja sebelum ulat tersebut menyerang semula. Bermakna, pokok-pokok karas perlulah disembur dengan racun organik setiap 2 minggu. Dan, ini merupakan satu keperluan dan aktiviti yang tentunya menjerihkan memandangkan hanya seorang sahaja yang mengendalikan keseluruhan projek. Apalagi di bulan Ramadhan yang bakal berkunjung.
Saya ada bertanyakan perihal ulat-ulat tersebut dengan Abang Nasri. Namun, menurut beliau tidak ada pula pokok-pokok karasnya yang diserang oleh ulat sedemikian. Sebaliknya, pokok-pokok karas beliau diserang oleh belalang.
Hmmm...apalah agaknya yang perlu dilakukan lagi. Sekiranya perhatian tidak diberikan, tentunya agak banyak juga kerugian yang perlu ditanggung sepanjang satu tahun projek berjalan. Fikir-fikirkanlah....
Wassalam.
.
No comments:
Post a Comment