...

LAZADA

Lazada Malaysia

Tuesday 13 October 2015

Bertemu Abg Mat Siam Sekali Lagi

Salamwarahmatullah,

Sebagai lanjutan daripada lawatan ke ladang cendawan M Mushroon Farm kira-kira seminggu yang lalu, pada hari Ahad lepas saya telah berkunjung ke rumah Abg Mat Siam sekali lagi. Bersama-sama saya ialah En Malik dan Sdra ZulBakar.

Seperti yang telah dijanjikan lebih awal, kami sampai 3 minit selepas jam 10 pagi. Ketika kami sampai, Abg Mat Siam tiada di rumah, hanya isterinya berada di luar rumah sedang membersihkan pokok bunga ros beliau daripada tumbuhan menjalar. Kata beliau, Abg Mat Siam pergi ke Sg Ruan.

Sementara menunggu, kami berpusing-pusing di sekitar rumah Abg Mat Siam melihat projek fertigasi cili beliau. Subur-subur dan besar-besar serta panjang-panjang buah cili Abg Mat Siam. Jangkaan saya kebanyakan daripada cili beliau adalah sekitar 7 - 8 inci panjang. ZulBakar yang pertama kali berkunjung begitu terpesona melihat buah-buah cili yang berjuntaian di setiap pokok. Tak putus-putus beliau menggeleng-gelengkan kepala tanda terpesona. Entah berapa banyak gambar cili yang diambilnya.

Cili Kulai - imej ihsan Google


Terdapat juga projek fertigasi rock melon yang telah tamat tempoh penanamannya. Hanya tinggal pokok yang tua serta buah-buah rock melon yang kecil dan tidak berkualiti menanti saat untuk dibersihkan.

Sekitar jam 10.50 pagi, Abg Mat Siam pun kembali. Setelah bersalaman dan bertanya khabar, kami terus sahaja kepada tujuan utama kami berkunjung. Iaitu untuk mempelajari perihal tanaman cendawan tiram kelabu. Abg Mat Siam membawa kami ke rumah cendawan beliau yang terletak di bahagian belakang rumah. Beliau menerangkan segala aspek berkaitan tanaman cendawan tiram kelabu di samping menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada kedua-dua orang teman saya.

Cendawan tiram kelabu - imej ihsan Google


Setengah jam berlalu, kami berpindah ke hadapan rumah. Di bawah pondok, kelihatan beg-beg baja AB sedia untuk diedarkan. Menurut Abg Mat Siam, baja-baja tersebut diadun oleh beliau sendiri dan akan diedarkan kepada Institut Latihan Pertanian Kuala Lipis. Abg Mat Siam juga tidak lokek berkongsi formula baja AB tersebut.

Perbincangan kemudian beralih pula ke meja bulat di beranda. Teh tarik sedia menanti kami. Macam-macam nasihat Abg Mat Siam berikan kiranya kami berhajat untuk menanam cendawan tiram kelabu. Berbagai tips beliau ujarkan. Memang seronok berbincang dengan Abg Mat Siam.

Perkhabaran yang menarik perhatian saya adalah pertandingan cecair kawalan serangga di antara Ory-X dan Brogard ciptaan Abg Mat Siam yang telah diadakan di Sg Burung beberapa minggu sebelumnya. Dan, Brogard telah memenangi pertandingan itu. Hasilnya, Jabatan Pertanian akan menggunakan Brogard sebagai cecair kawalan serangga yang utama. Tahniah Abg Mat Siam!

Cecair kawalan serangga BROGARD - imej ihsan Google


Selepas air habis dihirup, datang pula juadah tengahari. Abg Mat Siam memang macam tu. Kalau saya ke rumah beliau, pasti ada jamuan disediakan. Kalau saya berkunjung secara mengejut, pasti beliau akan marah. Seringkali beliau berpesan, kalau nak datang bagi tau awal-awal.

ZulBakar yang awalnya berkata mahu pulang awal seperti tak mahu meninggalkan Abg Mat Siam. Pelbagai topik pertanian bersilih-ganti ditanya dan dibincangkan. En Malik juga tak ketinggalan mengutarakan pelbagai pertanyaan. Durian dan pokok tin pula menjadi tajuk perbincangan.

Kebetulan ada dua batang pokok buah tin di hadapan rumah Abg Mat Siam dari spesis Brown Turkey. Menurut beliau, ada seorang kenalan beliau yang bekerja dengan JPM dan sering ke luar negara. Dan, setiap kali beliau akan membeli dan membawa balik pelbagai spesis pokok buah tin. Sudah 25 spesis pokok buah tin dibawa balik dan ditanam oleh beliau. Daripada pemerhatian kenalannya itu, pokok buah tin dari spesis Brown Turkey adalah yang paling sesuai untuk cuaca di Malaysia. Ini kerana pokok buah tin dari spesis ini akan sentiasa berbuah manakala spesis lain hanya berbuah sekali kemudian tidak berbuah lagi walaupun hidup subur.

Imej ihsan Google
Buah tin dari spesis Brown Turkey - imej ihsan Google


Jam 1.20 petang kami bermohon diri. Seperti biasa, Abg Mat Siam berpesan supaya datang lagi. Insya-Allah...kami akan datang lagi dan terima kasih Abg Mat Siam atas layanan yang diberikan.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment