Salam warahmatullah dan selamat bertemu kembali,
Siang tadi, saya bersama En Malek telah ke Negeri Pahang untuk bertemu dengan Saudara Ahmad Khan. Sudah amat lama saya tidak bertemu dengan beliau. En Malek pula ikut serta sebab tertarik dengan cerita saya betapa hebatnya Saudara Ahmad Khan ini di dalam bidang pertanian terutama sekali berkenaan EM - Effective Microorganisme.
Setelah membuat temujanji malam tadi, kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 pagi. Dengan keadaan jalan yang tenang, kami tiba di destinasi sekitar jam 10.30 pagi. Setelah menelefon dan menunggu beberapa ketika, kami bertemu beliau di Pejabat Pertanian Gali di mana beliau melakukan usaha tanaman cili secara fertigasi.
Walaupun rencana awalnya untuk berbincang perihal EM, sebaik sahaja melihat tanaman cili fertigasi beliau, saya dan En Malek langsung menukar tajuk kepada tanaman fertigasi. Memang seronok berborak dengan beliau, banyak ilmu yang dikongsikan dan banyak panduan yang diberikan. Apa yang paling menarik perhatian En Malek adalah teknik bancuhan baja fertigasi yang dilakukan oleh Saudara Ahmad Khan. Kepekatan bancuhan baja tersebut dikawal mengikut keperluan tumbesaran pokok cili. Menurut Saudara Ahmad Khan, perkara ini adalah amat penting bagi memastikan projek fertigasi membuahkan hasil yang lumayan. Tidak hairanlah cili besar hasil tanaman fertigasi Saudara Ahmad Khan sepanjang 8 inci sebiji.
Setelah lama berborak perihal fertigasi akhirnya kami berbalik kepada EM yang menjadi agenda utama kami ke situ. Saya telah bertanya beliau kenapa beberapa blog/laman pertanian menyarankan supaya meletakkan nenas ke dalam resipi EM dan beliau menjawab bagi menambahkan kandungan oksigen dan seterusnya memastikan kultur bakteria di dalam EM dapat berkembang-biak dengan lebih baik.
Beliau juga memberitahu bahawasanya kandungan bahan organik yang berlainan akan menghasilkan kultur bakteria yang berlainan. Hmm...pengetahuan baru buat saya serta En Malek.
Pengetahuan Saudara Ahmad Khan di dalan bidang pertanian sememangnya sukar untuk disangkal. Berdiskusi dengan beliau membuatkan saya merasakan betapa masih mentahnya kami berdua di dalam bidang pertanian termasuklah EM. Tidak hairanlah jika Saudara Ahmad Khan sering dijemput oleh Jabatan Pertanian untuk mengendalikan kelas-kelas pertanian terutamanya bagi kaedah fertigasi. Menurut Saudara Ahmad Khan, beliau sekarang ini mempunyai lebih 1000 orang anak murid yang sedang belajar dari beliau di beberapa kelas pertanian.
Menjelang jam 1.15 tengahari, Saudara Ahmad Khan menjemput kami ke rumah beliau untuk makan tengahari. Sedap...masakan kampung! Semasa makan kami tetap terus berdiskusi hal pertanian. Begitu juga selepas makan tengahari. Beberapa formula baru telah kami dapati. Saya minta maaf tidak dapat berkongsi formula tersebut buat masa ini kerana ia memerlukan penyelidikan lanjut bagi menentukan samada formula tersebut boleh diadaptasikan bagi penanaman karas serta pengeluaran gaharu.
Bermula sekitar jam 11.30, pagi pertemuan kami dengan Saudara Ahmad Khan berakhir pada jam 3.15 petang. Itupun diiringi dengan hadiah 2 pokok cili padi hasil tanaman fertigasi beliau.
Terima kasih Saudara Ahmad Khan. Insyallah, kami akan berkunjung lagi.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment