...

LAZADA

Lazada Malaysia

Wednesday, 29 October 2014

Lawatan Tapak & Inokulasi Gaharu Lagi

Salam warahmatullah,

Siang tadi saya ke tapak projek sekali lagi untuk melihat perkembangan inokulasi gaharu menggunakan vaksin pemberian Abang Mat Siam yang bermasalah.

Vaksin masih lagi seperti jeli dan tidak menyerap ke dalam pokok. Bagi mengatasi masalah itu, saya membuat dua lubang baru dan mengubah vaksin ke lubang tersebut. Harap-harap tindakan ini akan berjaya mengatasi masalah yang terjadi.

Peluang berada di lokasi juga tidak saya sia-siakan di mana tiga batang lagi pokok karas telah dapat saya inokulasi sebelum hujan menerpa. Kali ini, inokulasi dilakukan dengan vaksin olahan saya sendiri. Dan, pokok-pokok tersebut telah diberi tanda dengan cat sembur warna kuning. Semoga Allah merahmati usaha ini dan mengurniakan gaharu yang berkualiti, insya-Allah. Amin ya rabbal alamin.




  

Wassalam.

 

Monday, 27 October 2014

Perkembangan Inokulasi Gaharu...

Salam warahmatullah,

Pagi ini saya telah melawat tapak projek untuk melihat perkembangan inokulasi gaharu yang telah dilakukan pada 1 Muharram tempohari.

Secara amnya, inokulasi berjalan lancar kecuali bagi inokulasi menggunakan vaksin dari Thailand pemberian Abang Mat Siam. Sebatang pokok karas yang disuntik dengan vaksin tersebut menyerap dengan baik manakala sebatang pokok lagi menghadapi sedikit masalah. Masalahnya adalah... terjadinya semacam jeli di dalam lubang suntikan serta di muncung hos hingga menghalang cairan vaksin daripada masuk ke dalam batang pokok karas seterusnya diserap oleh pokok.

Melihat masalah tersebut saya segera menghubungi Abang Mat Siam untuk bertanyakan hal tersebut. Namun, Abang Mat Siam tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu dan beliau berjanji akan menghubungi teman beliau di Thailand untuk bertanyakan masalah tersebut.

Apapun, secara amnya usaha inokulasi tersebut bolehlah diputuskan sebagai berjaya. Insya-Allah saya akan melakukan lawatan seterusnya setelah mendapatkan maklum-balas daripada Abang Mat Siam dalam sehari-dua lagi. Insya-Allah...

Wassalam.


Saturday, 25 October 2014

Kelulut Lagi...

Salam warahmatullah,

Coretan singkat ini hanyalah untuk berkongsi sedikit ilmu hasil dari kumjungan saya dan En Malek ke Wafiqah Farm & Nursery di Sungai Tekali, Hulu Langat pada hari Khamis yang lalu.

Kunjungan kami disambut oleh barisan sarang kelulut yang baru sampai dari Narathiwat, Thailand. Menurut Tuan Faizul, ada sekitar 100 sarang kelulut lagi akan sampai sedikit masa lagi. Satu sarang berserta koloni kelulut dijual oleh beliau pada harga RM700. Bagi sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan sarang kelulut, bolehlah menghubungi Tuan Faizul melalui no. 010-2205745.

Dari pemerhatian saya, koloni kelulut beliau hampir sama dengan koloni kelulut Dr Ibrahim. Bagaimanapun, sistem sarangnya adalah berlainan. Sistem sarang kelulut beliau sama seperti sistem sarang kelulut Abang Nasri manakala sistem sarang kelulut Dr Ibahim lebih menyerupai sistem sarang lebah madu. Dari aspek famili kelulut pula, famili kelulut Tuan Faizul dan Dr Ibrahim hampir sama tetapi famili kelulut Abang Nasri adalah lebih besar disamping mempunyai sedikit warna merah pada badannya.



Seronok juga melihat koloni kelulut berterbangan mencari madu dan kemudian kembali ke sarang masing-masing. Hajat dihati memang ada untuk memiliki sarang kelulut tetapi belum mempunyai infrastruktur yang sesuai. Insya-Allah akan tercapai juga hasrat itu suatu hari nanti mudah-mudahan. Amin.

Wassalam.