Khamis 17 Disember 2015, selesailah sudah Seminar Pembuatan Inokulum & Teknik Inokulasi, yang telah bermula pada Rabu 16hb Disember 2015 bertempat di Terengganu Inc, Taman Industri Chendering, Kuala Terengganu,
Seminar selama 2 hari itu telah dianjurkan secara bersama oleh Golden Pharos Berhad, Terengganu Inc, Universiti Malaysia Terengganu dan Wafiqah Industries Sdn Bhd.
Seminar telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Adawi, CEO Golden Pharos Berhad. Antara pembentang kertas kerja adalah Dr Baharuddin Salleh, pakar Fusarium dan pemilik arkib Fusarium terbesar di Asia, Puan Yusmaharnita dari Universiti Malaysia Terengganu dan Tuan Haji Faizul Anuar dari Wafiqah Industries Sdn Bhd.
Tujuan seminar adalah untuk memberi pendedahan kepada pengusaha-pengusaha kecil gaharu di Terengganu kepada kaedah penghasilan inokulum dan teknik inokulasi yang betul supaya dengan itu pengusaha-pengusaha kecil gaharu akan dapat menghasilkan kayu gaharu secara lebih cost-effective dan cost-efficient lantas merancakkan lagi industri gaharu di negeri Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya.
Dr Baharuddin Salleh telah memberikan penerangan panjang lebar dan terperinci berkenaan konsep inokulum dan kegunaanya dalam bidang pertanian. Sessi seterusnya oleh Puan Yusmaharnita yang menerangkan teknik asas penyadiaan inokulum. Sessi yang ditunggu-tunggu oleh setiap peserta akhirnya menjadi kenyataan pada jam 2.30 petang apabila Tuan Haji Faizul Anuar mara ke hadapan para peserta.
Tuan Haji Faizul telah menerangkan beberapa teknik yang digunapakai dalam penghasilan gaharu dan bagaimana ianya mempengaruhi hasil gaharu. Antara teknik yang dibentang adalah teknik penghasilan teras tengah, teknik penghasilan teras kapit atau semut dan teknik penghasilan kayu minyak. Setiap teknik mempunyai kelebihannya sendiri dan impak tersendiri kepada para pengusaha gaharu.
Akhirnya, resipi penghasilan inokulum telah dikongsikan oleh Tuan Haji Faizul dan menjadi dewan seminar riuh-rendah dengan bermacam soalan yang datang bertubi-tubi dari segenap arah. Semua para peserta begitu bersemangat untuk mempelajari resipi tersebut.
Namun, keriuhan itu akhirnya sepi apabila seminar ditamatkan pada jam 5.00 petang.
Hari kedua bermula dengan sarapan pagi dan kemudiannnya bergerak secara konvoi ke lapangan untuk demonstrasi inokulasi pokok karas. Suasana begitu meriah dengan pelbagai pertanyaan dari para peserta. Setiap teknik inokulasi yang telah diterangkan secara teori pada hari semalamnya, kini dipertunjukkan secara praktikal.
Seminar secara rasminya ditamatkan pada jam 1.00 tengahari selepas makan tengahari dihidangkan.
Secara keseluruhannya, seminar ini berjaya membuka mata para peserta perihal apakah bahan asas yang terdapat di dalam inokulum yang dipasarkan di pasaran tempatan dan menghilangkan tanda soal yang sering bermain di fikiran mereka selama ini. Sungguhpun hampir 50 orang peserta telah mempelajari resipi inokulum dan teknik penghasilannya, saya percaya hanya beberapa orang sahaja yang akan benar-benar mempraktikkan apa yang mereka pelajari. Seperti orang mempelajari resipi dan teknik pembuatan roti canai, walaupun nampaknya mudah tetapi yang benar-benar berani untuk mempraktikkannya hanya beberapa orang sahaja.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Golden Pharos Berhad, Terengganu Inc, Universiti Malaysia Terengganu dan Wafiqah Industries Sdn Bhd atas usaha murni ini. Diharapkan agar seminar seumpama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan dikembangkan ke luar negeri Terengganu.
Para peserta Seminar Pembuatan Inokulum & Teknik Inokulasi bergambar ramai setelah tamat demonstrasi inokulasi pokok karas. |
Syabas! Insya-Allah kita jumpa lagi di seminar yang akan datang.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment