Salamwarahmatullah,
Sudah lama benar saya tidak menulis kerana banyak hal yang mengganggu. Tambahan pula, sekarang ini dalam proses menunggu...Menunggu suntikan karas menjadi matang untuk menikmati hasil gubal gaharu.
Sebagai usaha selingan, hari ini saya telah melawat sebuah ladang tanaman cendawan tiram kelabu yang terletak di Kg Sg Dua, Karak di dalam daerah Bentong, Pahang. Temujanji telah ditetapkan pada jam 10 pagi dan saya tiba di lokasi ladang bersama-sama En Malik sekitar jam 10:03 pagi.
Ketibaan kami telah disambut mesra oleh Ms Khong yang mengetuai operasi ladang cendawan tersebut. Begitu ramahnya beliau hingga kami tidak sedikit pun merasa janggal. Setiap soalan yang diajukan dijawab dengan sebaiknya oleh beliau. Setiap fasa penanaman cendawan tiram kelabu diberikan penerangan yang sejelas-jelasnya. Tiada berselindung sedikitpun. Banyak ilmu yang kami pelajari dari lawatan tersebut.
Keperluan rumah cendawan, kawasan sekitar, tahap kelembapan, keperluan pengudaraan semuanya diterangkan dengan jelas. Kebersihan rumah cendawan sentiasa dijaga. Pekerja beliau sentiasa menyembur lantai rumah cendawan bagi memastikan kelembapan yang sesuai untuk pertumbuhan cendawan.
Menurut Ms Khong, sudah 6 tahun mereka beroperasi dan kini mereka bukan sahaja menghasilkan cendawan tiram kelabu segar untuk pasaran tetapi juga bongkah cendawan siap disuntik benih bagi memudahkan sesiapa yang berminat untuk menanam cendawan tiram kelabu. Dengan cara ini, pengusaha cendawan tiram kelabu tidak lagi perlu bersusah-payah untuk mempelajari kaedah untuk menyediakan media tanaman serta menyuntik benih yang memerlukan kepakaran di samping mengambil masa yang panjang. Tambahan pula, usaha untuk menanam cendawan ini tidak memerlukan kawasan yang luas. Sebuah rumah cendawan berukuran 20' x 20' berupaya menempatkan sehingga 3000 bongkah cendawan.
Menggunakan bongkah cendawan siap disuntik, para pengusaha cendawan hanya perlu menumpukan kepada penjagaan dan kesihatan bongkah supaya hasil yang bakal dituai menjadi lumayan. Hasil tuaian cendawan pula boleh berlangsung selama sekitar 5 - 7 bulan. Apabila habis tempoh pengeluaran cendawan, para pengusaha hanya perlu menggantikan bongkah terpakai dengan bongkah yang baharu.
Sesungguhnya lawatan hari ini amat menguntungkan dari aspek ilmu yang kami dapat. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi.
Insya-Allah ilmu dari hasil lawatan hari ini akan direalisasikan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment