...

LAZADA

Lazada Malaysia

Monday, 17 December 2012

Pucuk gaharu...

Salam warahmatullah.

Pertama sekali, saya ingin mewar-warkan Seminar Kebangsaan & Pameran Gaharu 2012 yang akan diadakan dari 18hb Disember 2012 - 20hb Disember 2012 bertempat di Bukit Jalil.

Keduanya, saya mendapat info daripada En Malik bahawa beliau mempunyai banyak pucuk-pucuk gaharu yang sedia untuk diproses di ladang beliau di Kg Payamas Dalam, Tangkak, Johor. Jika ada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan pucuk gaharu segar untuk diproses menjadi teh, bolehlah berhubung terus dengan beliau di talian 016-6951347. Harga dan kaedah pengambilan/penghantaran boleh dibincangkan dengan beliau.

Wassalam.



Saturday, 3 November 2012

Basal2000, Brogard...dll

Salam warahmatullah,

Nukilan saya yang terakhir adalah pada 24hb September, 2012. Bermakna, sudah satu bulan lebih saya tidak menulis. Bukan tidak berkunjung ke tapak projek cuma ketiadaan masa untuk menulis.

Pada kali ini, saya ingin berkisar kepada Basal2000 terutama sekali kepada keberkesanannya. Enam minggu yang lalu, En Malek telah melakukan semburan Basal2000 dan kesan daripada semburan tersebut dapat dilihat sehingga hari ini. Kawasan sekitar pokok yang disembur Basal2000 masih tiada lalang dan rumput yang tumbuh. Hajat saya untuk melakukan semburan ulangan hari ini tapi hujan yang turun sekejap-sekejap sepanjang hari membantutkan angan-angan tersebut.

Sebagai gantinya, saya melakukan "pruning" ke atas pokok-pokok pisang di sekitar tapak projek. Sudah terlalu banyak rumpun-rumpun pisang hingga sudah kelihatan bersemak. Dengan melakukan "pruning", rumpun-rumpun pisang kelihatan lebih cantik dan terjaga dan tidak mencacatkan pandangan.

Tinjauan ke atas pokok-pokok karas juga tidak menemukan serangan "armyworm". Alhamdulillah, kepercayaan saya kepada Brogard semakin mantap. Tidak dapat dinafikan Brogard amat berkesan menangani masalah serangan "armyworm".

Seminggu setengah yang lepas, saya menerima emel daripada adik saudara saya yang bekerja di Manama, Bahrain. Katanya, ada rakannya dari Bahrain yang sedang mencari gaharu dan dia bertanya apakah saya dapat membantu beliau untuk mencarikan gaharu itu. Terus sahaja saya menghubungi Tuan Bakery. Memang ada! Sekitar 1/2 kilogram yang sudah dicuci. Kemudian, adik saudara saya itu meminta dihantarkan sedikit contoh gaharu dan saya meminta Tuan Bakery untuk menyediakannya. Insyallah, mudah-mudahan ada rezeki yang barakah!

Bertemu lagi di lain kali, insyallah.

Wassalam.



Monday, 24 September 2012

Gaharu ku.....

Salam warahmatullah,

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini kerana pelbagai perkara. Apapun, projek penanaman karas masih lagi berjalan walaupun dengan kadar yang agak perlahan sekarang ini.

Pada minggu ketiga raya, saya telah mengunjungi tapak projek. Namun, saya tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan blog ini. Aktiviti yang dilakukan pada petang Sabtu adalah menyembur pokok-pokok karas dengan Brogard memandangkan kedapatan beberapa pokok karas yang diserang oleh armyworm sekali lagi. Keesokan harinya, saya bersama-sama En Malek telah pergi ke Semenyih untuk melihat sendiri perkembangan 2 batang pokok karas yang telah diinokulasikan setahun yang lalu. Kunjungan kami telah ditemani oleh Tuan Bakery.

Mulanya, kami agak kecewa apabila melihat pokok karas yang diinokulasikan dengan Formula NZ telah mati akibat dimakan anai-anai. Bagaimanapun, setelah diteliti dengan lebih dekat, kami dapati batang pokok karas tersebut mempunyai teras gaharu. Lalu, pokok tersebut telah ditebang dan batangnya dibawa pulang untuk dicuci. Hasilnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Tuan Bakery pada minggu hadapannya, amat baik sekali. Gaharunya amat wangi sekali. Cuma... saya belum berkesempatan untuk pergi melihatnya secara peribadi.

Sebatang lagi pokok karas yang diinokulasikan dengan Formula Y dibiarkan untuk terus matang setelah diperiksa dan didapati sedang menghasilkan teras gaharu dengan baik.

Tiga minggu kemudian iaitu pada hari minggu yang lalu, saya telah sekali lagi mengunjungi tapak projek bersama-sama En. Malek. Kami telah menanam lebihkurang 10 batang anak nenas di celah pokok-pokok karas sebagai usaha sampingan. En Malek kemudiannya telah melakukan semburan Basal2000 sebanyak 3 pusingan. Setiap pusingan menggunakan 16 liter campuran Basal2000.

Sebagaimana yang pernah saya nukilkan dahulu, penggunaan Basal2000 sememangnya amat efektif dengan syarat ianya dilakukan secara sistematik dan konsisten. Pengalaman peribadi En Malek di Kampung Payamas Dalam, Tangkak juga mengiakan perkara ini. Cumanya, bagi projek di Langat ini tidak dapat dilakukan sebegitu kerana saya hanya boleh berkunjung ke tapak projek setiap 2 atau 3 minggu sekali.

Satu masalah yang agak sukar untuk dibendung adalah pokok karas yang hampir tumbang kerana dilanda angin kencang. Perkara yang sama juga dialami oleh Tuan Bakery di Semenyih serta En Malek di Tangkak. Nampaknya, satu pendekatan baru perlu dilakukan. Mungkin kaedah yang digunapakai oleh DBKL ketika menanam pokok-pokok lanskap yang besar boleh dipraktikkan.

Oklah...sekadar itu sahaja buat kali ini.

Wassalam.