...

LAZADA

Lazada Malaysia

Sunday 7 September 2014

Zizyphus Jujuba

Salam warahmatullah,

Kira-kira 3 tahun lepas, saya telah menanam 2 batang pokok Zizyphus Jujuba atau lebih dikenali sebagai Kurma China di kalangan masyarakat tempatan. Sebatang daripada pokok tersebut telah mati tetapi sebatang lagi sedang mulai mengeluarkan bunga. Insyallah tidak lama lagi akan mengeluarkan buah. Mudah-mudahan hasilnya nanti memberangsangkan.








Dari segi rupa, pokok Zizyphus Jujuba ini serupa dengan pokok yang dikenali sebagai Bidara di mana daunnya digunakan waktu memandikan jenazah. Terdapat sebatang pokok Bidara ini di rumah kakak saudara saya di Durian Sebatang, Dong, Raub, Pahang.

Pada mulanya, saya sangkakan pokok tersebut adalah Zizyphus Jujuba tetapi bila ditanya kepada beliau, katanya pokok tersebut adalah pokok Bidara. Mungkinkah sebenarnya kedua-dua pokok ini sama? Wallahua'lam.

Mungkin apabila pokok yang saya tanam ini mengeluarkan buah dan pokok di kampung juga berbuah maka persolaan ini akan terjawab.

Bagi mereka yang masih tertanya-tanya pokok apakah ini; buahnya juga dikenali sebagai Kurma Merah dan sering menjadi sebahagian daripada isi Lai Chi Kang.

Wassalam.


Saturday 6 September 2014

Diari Seminggu

Salam warahmatullah,

Isnin lalu, sekali lagi saya bertemu dengan Abang Mat Siam. Seperti biasa, banyak sungguh ilmu yang dapat saya timba dari pertemuan itu.

Mulanya, kami bertemu di Pejabat Pertanian Gali di mana 2000 pokok cili besar tanaman Abang Mat Siam sedang berbuah. Biarpun masih hijau dan belum matang, cili beliau sudah pun berukuran sekitar 6 inci. Tidak hairanlah jika apabila matang nanti cili-cili tersebut akan berukuran 8-10 inci. Abang Mat Siam juga membuat tawaran kepada saya untuk membuat tanaman cili fertigasi.

Di pertemuan itu, Abang Mat Siam memberikan kepada saya satu botol inokulan gaharu yang dibawa daripada Thailand seperti yang telah beliau janjikan beberapa bulan terdahulu. Inokulan tersebut adalah untuk saya cuba keberkesanannya di lapangan. Insya-Allah akan saya usahakan nanti.

Menjelang pertengahan pagi, kami beralih ke pekan Dong untuk minum. Banyak perkara yang kami bincangkan bersama. Setelah itu, kami bergerak ke rumah beliau pula. Antara tujuannya adalah untuk mendapatkan bekalan Brogard.

Sesampai di rumah beliau, Abang Mat Siam segera menyuruh anak saya yang turut serta untuk memetik buah mata kucing yang sedang masak dan berjuntaian dari pokok. Saya juga sempat menjenguk tanaman cili yang sedang beliau usahakan di tepi rumah. Di situ, kelihatan seorang anak muda sedang menyiram pokok. Menurut Abang Mat Siam, anak muda itu sedang membuat praktikal di rumah beliau dan datang dari Institut Latihan Pertanian di Kedah. Hebat Abang Mat Siam...jadi mentor dan guru yang bakal menentukan halatuju pemuda tersebut setelah tamat belajar.

Menurut Abang Mat Siam lagi, beliau turut mempunyai 132 orang pelajar di Institut Latihan Pertanian di Kuala Lipis. Beliau berulang-alik setiap hari dari Dong ke Kuala Lipis dengan kenderaan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian.

Di kolam beliau, Abang Mat Siam juga menternak ikan keli serta tilapia. Ikan keli beliau sebanyak 3000 ekor hanya tinggal 19 hari lagi sebelum matang dan boleh ditangkap dan dipasarkan. Pesan Abang Mat Siam kepada anak saya; "datang semula dua minggu lagi, boleh tangkap ikan keli".

Sebelum pulang, Abang Mat Siam juga memberikan 2 botol BMO untuk saya cuba. Murah hati sungguh Abang Mat Siam di samping tidak kedekut ilmu.

Dua hari selepas itu, saya bertemu dengan En Malek di Sri Petaling. Tujuannya untuk mengambil anak-anak karas yang beliau bawa dari Tangkak. Dari Sri Petaling kami bergerak ke Subang Jaya sebentar sebelum mengubah haluan ke Sungai Tekali.

Wafiqah Farm & Nursery menjadi destinasi kami. Kedatangan kami disambut oleh Tuan Faizul serta Ustaz Aziaman. Pertemuan kami segera menjadi medan perbincangan yang rancak. Pelbagai isu semasa berkaitan tananan pokok karas serta industri gaharu dibahaskan. Seperti Abang Mat Siam, Tuan Faizul juga tidak lokek ilmu. Banyak perkara baharu yang telah kami pelajari.

Pelbagai jenis kayu gaharu telah dipertunjukkan kepada kami. Pelbagai jenis gred gaharu juga dipamerkan. Terpana kami melihat kepelbagaian gaharu yang ada. Masa berlalu begitu cepat. Tahu-tahu sudah hampir jam 2 petang.

Kononnya mahu mengundurkan diri, maka kami beralih keluar ke lapangan nurseri. Tapi...untuk bergerak ke kereta perlu melalui sebahagian ladang beliau maka pergerakan kami jadi amat perlahan. Masih banyak lagi ilmu yang telah dikongsikan kepada kami. Masih sempat Tuan Faizul menerangkan beberapa ciri-ciri pokok karas yang tidak kami ketahui selama ini.

Akhirnya, hampir jam 3 petang barulah kami ke kereta. Itupun setelah dihadiahkan dengan 2 batang anak karas dari spesis Malaccensis. Sungguh bermurah hati Tuan Faizul. Terima kasih...insya-Allah kami akan berkunjung lagi.

Maha Suci Allah yang telah mempertemukan saya dengan 2 orang yang banyak ilmunya serta tidak lokek untuk berkongsi. Mudah-mudahan Allah memberkati dan merahmati mereka berdua. Amin.

Hari Khamis, saya kembali dengan usaha-usaha projek baja cecair yang sedang diusahakan. Esok, insya-Allah saya akan ke Hulu Langat dan Tuan Bakery telah bersetuju untuk bertemu di sana. Sebahagian daripada anak-anak karas pemberian En Malek akan saya berikan kepada Tuan Bakery bersama dengan sampel baja cecair manakala Tuan Bakery pula telah berjanji akan membawa 5 liter inokulan.

Ya Allah, rahmatilah dan permudahkanlah usaha kami semua. Sesungguhnya tiada daya kekuatan melainkan daya kekuatan-Mu juga. Dan sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Amin...

Wassalam.