...

LAZADA

Lazada Malaysia

Friday 27 June 2014

Hasil OHN Papain & EM-2 Papain

Salam warahmatullah,

Sebentar tadi saya telah menapis peraman OHN Papain & EM-2 Papain dan hasilnya adalah seperti gambar di bawah.


Langkah seterusnya adalah untuk menguji keberkesanan kedua-dua produk tersebut. Insya-Allah hasilnya akan dikongsikan nanti.

Sementara itu, Liquid Seaweed Fertilizer yang telah diproses 2 bulan lalu juga telah diperiksa. Terdapat lapisan kulat di bahagian atasnya, tetapi baunya agak kurang menyenangkan. Untuk itu, saya telah menapis larutan tersebut ke dalam botol lain dan menambah EM-1 sebelum diperam semula.

Kita tunggukan hasilnya nanti.

Sekian, wassalam.


Thursday 26 June 2014

IMO-1 Siap...Selanjutnya IMO-2

Salam warahmatullah,

Hanya sedikit coretan yang hendak dikongsikan.

Sebentar tadi, saya baru sahaja selesai memproses IMO-2 dan sudah mulai diperamkan. Insya-Allah dalam 5-7 hari lagi akan siaplah IMO-2.

Wassalam.


Wednesday 25 June 2014

Bertemu Abang Nasri...

Salam warahmatullah,

Pagi ini saya telah berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Nasri di pejabat beliau di Batu 10, Gombak. Sudah lama benar tidak bertemu beliau. Kali terakhir adalah pada 1 Jun  2011. Tak sedar...sudah 3 tahun rupanya!

Saya tiba di pejabat beliau jam 9.00 pagi. Abang Nasri segera menghulur salam dan bertanya ke mana saya menghilang sekian lama. Yang pentingnya...beliau masih kenal dan ingat kepada saya.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah barisan sarang kelulut pelbagai saiz. Nampaknya semakin ramai pengusaha karas turut mengusahakan ternakan kelulut. Juga kelihatan sarang kelulut yang sedang dalam pembinaan di mana menurut Abang Nasri ia adalah bagi memenuhi pesanan daripada Singapura.

 



Sarang kelulut tidak seperti sarang lebah madu kerana ia tidak memerlukan 'vertical frame'. Cukup dengan sebuah kotak bersaiz kotak pizza yang kosong di dalamnya dan disediakan sebuah lubang kecil sebagai laluan keluar-masuk kelulut.

Penternakan kelulut ini menurut Abang Nasri adalah bagi memenuhi masa lapang di samping dapat menyediakan pendapatan sementara menunggu pengeluaran gaharu yang mengambil masa yang lama.

Abang Nasri turut membekalkan koloni kelulut kepada sesiapa yang memerlukannya. Terdapat 2 jenis kelulut yang disediakan iaitu kelulut hitam dan kelulut merah. Kata Abang Nasri, kelulut merah adalah lebih baik kerana madunya lebih berkhasiat di mana kajian oleh Universiti Sains Malaysia menunjukkan bahawa madu kelulut merah adalah amat baik bagi pesakit kanser.

Setelah agak lama berbicang tentang kelulut, kami kembali ke topik asal yang ingin saya bincangkan dengan Abang Nasri iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah berkenaan penanaman dan penghasilan gaharu.

Abang Nasri memberitahu bahawa beliau melakukan inokulasi ke atas satu-satu pokok karas sebanyak 3 kali setahun dan inokulasi tersebut berterusan selama 3 tahun. Kemudian, setelah ujian dilakukan dan mendapati terdapat resin gaharu, maka pokok tersebut akan dibiarkan matang selama 1 atau 2 tahun lagi sebelum gaharunya dikeluarkan.

Kesempatan bertemu Abang Nasri juga saya manfaatkan dengan menunjukkan kepada beliau gaharu yang telah dihasilkan daripada inokulasi pada September tahun lalu. Gaharu tersebut terpaksa dikeluarkan kerana pokok karas tersebut telah mati akibat dihempap dahan durian. Menurut Abang Nasri, gaharu tersebut masih belum sempurna kerana belangnya kurang. Bagaimanapun, ia masih berharga dan sesuai untuk dijadikan pati gaharu.

Saya juga telah bertanya Abang Nasri tentang dapur gaharu beliau di mana menurut beliau telah diserahkannya kepada seorang muridnya di Gemas. Menurut Abang Nasri, 14kg kayu gaharu diperlukan bagi menghasilkan 14ml pati gaharu dan proses tersebut akan mengambil masa selama 48 jam untuk diselesaikan.

Memang banyak ilmu yang dapat ditimba dari Abang Nasri jika rajin bertemu dan bertanya kepada beliau. Kenyataannya...beliau seorang yang tidak lokek ilmu.

Satu jam setengah bersama Abang Nasri, saya memohon diri untuk pulang. Pulang bersama tambahan ilmu dan pengalaman. Alhamdulillah...

Insya-Allah saya akan cuba untuk meluangkan lebih masa untuk sering bertemu dan belajar daripada Abang Nasri.

Wassalam.





Tuesday 24 June 2014

Bersama En Malek...

Salam warahmatullah,

Pagi tadi saya telah ke Langat bersama dengan En Malek. Kami bertemu di Pekan Batu 14 sekitar jam 8:30 pagi dan kemudiannya bersarapan di Restoran Nasi Dagang di Taman Desa Sentosa. Sekitar jam 9:00 pagi, kami bergerak ke tapak projek dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.

Perkara pertama yang kami lakukan adalah melihat pokok karas yang telah disuntik dengan inokulan En Malek pada September tahun lalu. Tujuannya adalah supaya En Malek dapat melihat sendiri keberkesanan inokulan beliau.

Kemudiannya, kami pergi melihat buah-buah karas bagi memastikan samada ia telah matang atau belum. Jelasnya, masih belum matang lagi dan dijangkakan akan matang sekitar beberapa minggu lagi.

Dengan kesempatan yang ada, En Malek mengajak saya untuk meninjau projek karas Saudara Zubir. Setibanya di hadapan kebun karas beliau, kami dapati kawasan kebun karas beliau telah dipasang dengan pagar elektrik. Namun, daripada tinjauan kami tidak kelihatan tanda-tanda pokok-pokok karas beliau telah diinokulasikan. Entah le! Hanya melihat dari luar maka tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Lawatan kami tergendala sebentar apabila Landlord menghantar sms meminta bantuan untuk mengambil beberapa barangan daripada kedai hardware di Pekan Batu 18 untuk kegunaan pekerja beliau yang sedang memasang netting bagi melindungi chalet daripada dihujani buah durian yang bakal gugur ke atasnya.Kira-kira satu jam juga diperlukan bagi kerja-kerja tersebut.

Kembali dari kedai hardware, saya menunjukkan kepada En Malek teknik inokulasi yang telah saya gunakan pada 15 Jun yang lalu. Ternyata En Malek tertarik dengan teknik Micro-Holes Multiple-Boring System tersebut yang pada perkiraan beliau adalah lebih mudah dan efisien. Ini adalah kerana menggunakan teknik tersebut pokok karas boleh diinokulasi sehingga ke pangkal-pangkal dahan.

Bagi tujuan ilustrasi, saya telah menginokulasi semula 2 batang pokok yang telah diinokulasi pada 15 Jun yang lalu dan membuat beberapa lapisan inokulasi sehingga kepada ketinggian sekitar 5 kaki.

Menggunakan teknik ini, inokulasi boleh dibuat secara berlapis-lapis tanpa menggunakan banyak inokulan. Teknik ini juga boleh diulang semula beberapa bulan kemudian bagi mempertingkatkan kebarangkalian penghasilan gaharu, kualiti serta kuantitinya. Menggunakan teknik ini juga, gaharu boleh dipungut secara berperingkat; bermula dari dahannya dan secara berkala turun kepada pangkalnya.

Ini memberi peluang kepada penanam karas untuk mendapatkan hasil secara berterusan; bermula dari gaharu bergred C atau B daripada dahan-dahan serta pucuknya dan akhir sekali mendapatkan teras gaharu bergred A Super daripada pangkalnya. Teknik ini pernah disampaikan kepada saya oleh Dr Ibrahim beberapa tahun yang lalu. Satu lagi kelebihan teknik ini adalah ia boleh dilakukan ke atas pokok-pokok karas dengan ukurlilit yang kecil tanpa merosakkannya. Insya-Allah...

Untuk pengetahuan, inokulasi telah dilakukan menggunakan inokulan IG-M1.

Kami bergerak pulang sekitar jam 12:50 tengahari dan berhenti makan sebentar di sebuah warung bersebelahan IKBN. Setelah berpisah di Pekan Batu 14, saya tiba di rumah sekitar jam 2:40 petang.

Sekian coretan untuk hari ini, wassalam.



Monday 23 June 2014

Marhaban Ya Ramadhan



IMO...

Salam warahmatullah,

Sebentar tadi saya telah memulakan proses membuat IMO.

Lebihkurang 200 gram nasi sejuk dimasukkan ke dalam bekas plastik dan ditutup dengan kertas tisu kemudian diletakkan di pangkal pokok pisang.

Hmm...2 hari lagi insya-Allah akan menjadilah IMO.

Wassalam.


Buah Aquilaria Hirta

Salam warahmatullah,

Sekarang ini merupakan musim pokok-pokok karas berbuah. Berikut ini saya muatkan gambar-gambar buah A. Hirta atau juga dikenali Candan Bulu. Buah-buah karas ini adalah dari kebun En Malek di Tangkak.

 



Wassalam.


Monday 16 June 2014

Hasil EM-2 Tomate & EM-2 Papain Serta OHN Papain

Salam warahmatullah,

Pagi ini ingin saya bawakan berita bahawa EM-2 Tomate telah siap....telah ditapis dan dipindahkan ke dalam botol lain.

EM-2 Tomate ini dihasilkan khas untuk kegunaan semburan ke atas pokok-pokok tomato bagi memperkuatkan pokok, mempercepatkan pertumbuhannya serta menggalakkan pembungaan dan pembuahan. Diharapkan juga sebahagian besar serangga perosak akan juga dapat dihindarkan kerana saya telah memasukkan serai wangi sebagai sebahagian daripada bahan asasnya.

EM-2 Tomate yang telah disiapkan.

Ujian seterusnya adalah menyembur EM-2 Tomate ini ke atas pokok tomato dan meilhat keberkesanannya.

Sementara itu, pagi ini juga saya telah membuat 2 produk baru iaitu EM-2 Papain serta OHN Papain. Tujuannya adalah untuk menghasilkan enzim papian yang diharapkan akan dapat digunakan sebagai peluntur kotoran degil.

EM-2 Papain & OHN Papain yang baru dibutat pagi ini.
Mudah-mudahan salah satu daripada produk tersebut (jika tidak kedua-duanya) akan memberikan hasil yang diharapkan. Jika usaha ini berjaya, tidak perlulah lagi untuk menggunakan peluntur kimia yang berbahaya kepada diri dan alam sekitar.

Wassalam.



Sunday 15 June 2014

Hasil Inokulasi Gaharu & Inokulasi Menggunakan IG-M1

Salam warahmatullah,

Sudah sembilan bulan berlalu semenjak 4 batang pokok karas dibuat ujian inokulasi gaharu. Pagi tadi, saya serta Tuan Bakery telah pergi melihat hasil suntikan tersebut. Sayang sekali sebatang pokok yang diinokulasi telah mati akibat dihempap dahan durian. Bagaimanapun, apabila kami periksa dengan teliti, rupanya ia telah pun menghasilkan gaharu.

Lantas, kami memotong batang karas tersebut dan membawanya pulang untuk dianalisa seterusnya. Memang benar, apabila kami mulai mencucinya, teras gaharu telah pun terbentuk yang mana pada perkiraan kami adalah bergred C.

Batang karas tersebut perlu dikeringkan sepenuhnya sebelum dicuci semula hingga bersih. Sedikit masa lagi akan diketahuilah gred sebenar teras gaharu tersebut serta panjang mana teras itu.



Kelihatan teras gaharu daripada pokok karas yang mati dihempap dahan durian. Masih belum dicuci sepenuhnya.

Di samping itu, beberapa batang pokok karas kelihatan berbuah dengan lebatnya. Berjuntai di mana-mana.


Sepohon pokok karas yang sedang berbuah.
Setangkai buah karas.
Ketika duduk berbincang dengan Tuan Bakery, beliau telah memberitahu tentang resipi baharu inokulan yang sedang diusahakan beliau. Saya juga telah memberikan sedikit pandangan bagaimana beliau boleh mempertingkatkan lagi prestasi dan kualiti inokulan tersebut. Insya-Allah ia akan memberikan hasil yang lebih baik sedikit masa lagi setelah inokulan tersebut disiapkan.

Daripada 4 batang pokok karas yang telah diinokulasi pada September 2013, 2 batang yang diinokulasi menggunakan inokulan En Malek tidak menunjukkan sebarang reaksi. Setelah menakik lebih dari 1 inci ke dalam, tidak ada tanda-tanda teras gaharu terbentuk. Sedih sekali! Nampaknya...En Malek perlu memperbaiki inokulan beliau.

Pokok karas yang diinokulasi dengan inokulan En Malek tidak menunjukkan sebarang tanda adanya gaharu yang terbentuk.

Satu daripada pokok karas yang telah diinokulasi dengan inokulan En Malek itu kemudiannya telah saya inokulasi semula dengan inokulan IG-M1. Begitu juga dengan 2 batang pokok karas yang lain...turut diinokulasi dengan inokulan IG-M1.


Pokok karas MFM - Gambar 1
Pokok karas MFM - Gambar 2

Pokok karas MIM - Gambar 1

Pokok karas MIM - Gambar 2

Pokok karas Landlord yang asalnya diinokulasikan dengan inokulan En Malek telah diinokulasi semula.

Pokok karas Landlord - Gambar 2.

Mudah-mudahan inokulasi tebaru ini akan menghasil gaharu yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga berkuantiti banyak. Insya-Allah.

Wassalam.







Saturday 14 June 2014

EM Mud Balls...Hasilnya...

Salam warahmatullah,

Seperti yang dijanjikan seminggu yang lalu, saya bawakan hasil daripada pembuatan EM Mud Balls. Berdasarkan gambar di bawah, EM Mud Balls telah berjaya dihasilkan. Dapat kita lihat miselium yang menyelaputi EM Mud Balls sebagai tanda ia telah matang sepenuhnya dan bersedia untuk digunakan.



Hari ini saya akan ke Langat, insya-Allah, dan ujian lapangan untuk EM Mud Balls ini akan dilakukan.

Kini tunggukan perkembangan selanjutnya.

Wassalam.


Wednesday 11 June 2014

Seed Treatment Solution

Salam warahmatullah,

Dua hari lepas, saya telah membuat Seed Treatment Solution dan 7 biji benih durian Musang King menjadi bahan ujikaji di mana sebelumnya biji benih durian Musang King tersebut telah dibersihkan dan dijemur.

Pada kebiasaannya, Seed Treatment Solution digunakan bagi memulihkan biji benih komersial yang telah dirawat dengan bahan kimia bagi memanjangkan hayatnya. Namun, rawatan kimia ini tidak memastikan bahawa biji benih tersebut akan bercambah.

Penggunaan Seed Treatment Solution ke atas biji benih durian Musang King tersebut diharap akan dapat mempercepatkan pertumbuhan anak benih seterusnya memastikan anak pokok sihat dan kuat.

Biji benih durian Musang King di dalam Seed Treatment Solution


Dan, pagi tadi, ketujuh-tujuh biji benih durian Musang King tersebut telah disemai ke dalam polibeg. Mudah-mudahan rawatan Seed Treatment Solution akan memberikan hasil yang diharapkan.

Wassalam.

Monday 9 June 2014

EM-2 Tomate & EM Mud Balls...

Salam warahmatullah,

Bertemu kembali. Pagi ini saya telah membuat EM-2 yang dikhaskan untuk tanaman tomato. Solusi ini akan matang pada 23062014, insya-Allah.

EM-2 Tomate
Sementara itu, EM Mud Balls yang saya buat tempohari sudah mulai menunjukkan kehadiran miselium. Insya-Allah...beberapa hari lagi akan matanglah EM Mud Balls ini.

Miselium mulai tumbuh menyelaputi EM Mud Balls
Wassalam.


Saturday 7 June 2014

EM Activated Solution - EMAS & EM Mud Balls

Salam warahmatullah dan salam sejahtera buat semua,

Lanjutan daripada pembuatan Serum Asid Laktid tempohari, EM Activated Solution telah berjaya dibuat dan seterusnya Liquid Organic Fertilizer telah dihasilkan.

Tong kecil mengandungi EM-1 yang belum dicairkan manakala tong besar mengandungi EM-1 yang telah dicairkan menjadi solusi1:20

Beberapa liter LOF telah saya berikan kepada beberapa orang kenalan untuk diuji keberkesanannya. Di samping saya juga telah membuat semburan ke atas tanaman di sekitar rumah.

Seterusnya, semalam saya telah mencuba membuat EM Mud Balls. Banyak juga EM Mud Balls yang dapat dibuat namun samada ianya benar-benar berjaya hanya akan diketahui kira-kira seminggu lagi.

Beberapa EM Mud Balls yang telah disiapkan

Hasilnya, insya-Allah akan saya kongsikan kemudian.

Wassalam.

Tuesday 3 June 2014

Lanjutan Daripada Proses Membuat Serum Asid Laktid...EM-1

Salam warahmatullah,

Lanjutan daripada pembuatan Serum Asid Laktid tempohari, maka kini terhasillah EM-1. Alhamdulillah...tercapai juga cita-cita untuk membuat sendiri EM-1.

Kini, saya sedang memikirkan apakah mahu meneruskan proses sehingga mendapat EM-2, EM-3 dan seterusnya atau cukup sekadar di sini dan mengaplikasikan EM-1 untuk kegunaan tanaman.

Gambar di bawah menunjukkan EM-1 yang telah terhasil berjumlah 4 liter manakala gambar berikutnya pula adalah keju yang terhasil daripada proses pembuatan Serum Asid Laktid.


Wassalam.


Sunday 1 June 2014

Proses Membuat Serum Asid Laktid: Hari Ke-3...

Salam warahmatullah,

Masuk hari ke-3 proses membuat Serum Asid Laktid, beginilah keadaannya...


Wassalam.