...

LAZADA

Lazada Malaysia

Monday 16 September 2013

Alhamdulillah...Inokulasi Gaharu Berjalan Lancar

Salam warahmatullah,

Alhamdulillah seperti yang direncanakan minggu lalu, proses inokulasi gaharu telah dapat dilakukan dengan baik dan lancar walaupun tarikhnya telah diubah kepada minggu ini daripada tarikh asalnya iaitu minggu hadapan.

Kira-kira jam 9.00 pagi tadi, saya, En Malek serta Tuan Bakery telah berada di lokasi. Turut serta adalah anak saya sebagai jurufoto untuk merakamkan detik-detik bersejarah tersebut.

Aktiviti pagi tadi bukan sahaja untuk menginokulasi pokok-pokok karas tetapi juga berperanan sebagai kajian lapangan untuk menguji teknik H-Tec serta untuk menguji inokulan / vaksin yang dibuat oleh En Malek. Lebihkurang...3-dalam-1...gitu-gitu le.
 
Inokulan Tuan Bakery

Inokulan En Malek
Pokok pertama diinokulasi menggunakan vaksin Tuan Bakery menggunakan kombinasi teknik gantung serta H-Tec. Untuk pengetahuan pembaca sekelian, Tuan Bakery telah mula mengusahakan vaksin semenjak kira-kira 2 tahun yang lalu menggunakan formula R1310 sebagai asas dan kemudiannya dikembangkan dan dipertingkatkan. Manakala teknik gantung ini diadaptasi daripada teknik Saudara Jamar dari Lanchang, Pahang. Terima kasih Saudara Jamar, semoga Allah merahmati saudara. Amin...

Pokok pertama - inokulasi menggunakan kaedah gantung serta H-Tec dan vaksin Tuan Bakery
Pokok kedua diinokulasi menggunakan teknik gantung serta vaksin En Malek. Ini adalah kali pertama vaksin En Malek diuji di lapangan. Jika dilihat dari warna dan bau, ianya adalah setanding dengan vaksin Tuan Bakery. Harap-harap ia akan membuahkan hasil yang berkualiti tinggi.

Pokok kedua - inokulasi menggunakan kaedah gantungdan vaksin En Malek

Pokok ketiga diinokulasi menggunakan teknik H-Tec serta vaksin Tuan Bakery. Lubang dibor di sekeliling pokok sebelum diisi dengan kombinasi H-Tec serta vaksin. Lubang-lubang tersebut kemudian ditutup dengan potongan ranting kayu serta guli ( satu inovasi Tuan Bakery ). Harapan kami semoga teknik yang mudah ini berjaya memberikan hasil yang berkualiti tinggi.

Pokok ketiga - kombinasi kaedah H-Tec serta vaksin Tuan Bakery. Lubang-lubang telah ditutup dengan ranting kayu serta guli.
Gambar dekat lubang ditutup dengan guli.
Kelancaran proses inokulasi amatlah memberangsangkan. Perbincangan juga rancak berjalan seiring dengan proses inokulasi. Hasilnya, pelbagai ilmu baharu dan lama telah dapat dikongsikan bersama. Begitu juga perkembangan terkini dalam dunia tanaman karas di Malaysia.

Contoh hasil suntikan inokulan Tuan Bakery pada usia 1 tahun 8 bulan - wangi walaupun belum dibakar
Mudah-mudahan paparan kali ini dapat membangkitkan semangat teman-teman untuk terus berusaha ke arah kejayaan.

Wassalam dan Selamat Hari Malaysia!


Monday 9 September 2013

BROGARD - Berita Terkini...

Salam warahmatullah,

Ramai yang telah bertanya perihal Brogard; berapa harga dan di mana ianya boleh didapati.

Sebentar tadi, saya telah berhubung dengan pengeluar Brogard tersebut dan beliau telah memberikan butiran-butiran di bawah ini untuk saya kongsikan dengan pembaca sekelian.

Brogard terdapat di dalam beberapa versi, bagaimanapun yang amat disarankan oleh pengeluarnya sendiri adalah di dalam bentuk pekatan seperti gambar di bawah:


Harga bagi pekatan Brogard ini adalah RM200 dan boleh didapati daripada Amatic Gates Sdn Bhd yang berpengkalan di Bentong, Pahang. Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan En Sharul di talian 09-2221800 atau melalui faks di talian 09-2222800.

Untuk penggunaan, campurkan 50ml pekatan Brogard dengan 20 liter air kemudian semburkan ke seluruh pokok, batang serta daun bagi menghapuskan serangga perosak. Waktu terbaik untuk melakukan semburan adalah selepas waktu Maghrib mengikut kata pengeluar Brogard.

Biarpun kegunaan utama Brogard adalah untuk menghapuskan serangan serangga perosak, ia juga dapat berfungsi sebagai baja kepada tumbuhan tersebut.

Diharapkan makluman ini berguna kepada para pembaca sekelian..

Wassalam.



Kembali Bertemu...

Salam warahmatullah,

Ramadhan telah berlalu begitu juga dengan Syawal. Minggu lalu barulah saya berkesempatan mengunjungi semula tapak projek.

Beberapa batang pokok yang tumbang telah ditegakkan semula dan ditongkat begitu juga pokok-pokok yang senget kerana tiupan angin. Selain dari kejadian sebahagian pokok karas yang tumbang dan senget, secara amnya pokok-pokok karas kesemuanya tumbuh dengan baik.

Setelah membuat pemeriksaan dari pokok ke pokok, saya telah membuat keputusan untuk menginokulasikan beberapa batang pokok. Antara tujuannya adalah untuk menguji inokulan yang telah dibuat oleh En Malek serta Tuan Bakery.

Berdasarkan rekod inokulasi di Semenyih, inokulan yang dibuat oleh Tuan Bakery adalah amat efektif dan berjaya menghasilakn gaharu yang berkualiti tinggi. Insyallah kerja-kerja inokulasi itu akan dilakukan pada Ahad, 22hb September yang akan datang. Mudah-mudahan rancangan ini akan berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang lumayan, amin.