...

LAZADA

Lazada Malaysia

Saturday 30 July 2011

Hujan.....

Salam warahmatullah,

Hajat hari ini untuk menyulam anak pokok tidak kesampaian dek kerana hujan lebat sepanjang pagi
di Hulu Langat. En Malek yang begitu bersemangat, beliau tiba kira-kira jam 8:20 pagi, pun tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Segala perancangan untuk pagi tadi terpaksa dibatalkan.

Pun begitu, sempat jugalah kami meninjau keadaan anak-anak pokok. Kelihatannya masih banyak yang diserang oleh ulat. Tinjauan En Malek ke tapak projek Saudara Zubir juga mendapati banyak daripada pokok-pokok karas beliau yang sudah berusia sekitar 3 tahun juga diserang oleh ulat yang sama.

Nampaknya, satu analisis terperinci perlu dibuat untuk mengenali ulat tersebut dengan lebih mendalam di samping mencari solusi yang berkekalan. Ini kerana pokok-pokok karas di projek Saudara Zubir yang sentiasa disembur dengan racum kimia pun masih diserang oleh ulat tersebut.

Menurut En Malek, ada juga beberapa batang pokok karas di tapak projek beliau di Tangkak yang diserang oleh ulat yang sama. Observasi beliau mendapati tiada beburung yang mahu memakan ulat-ulat tersebut. Mungkin kerana ulat-ulat tersebut beracun. Wallahu a'lam.

Dari observasi, racun organik yang digunapakai di projek FM serta BOG hanya berkesan sekitar 2 minggu sahaja sebelum ulat tersebut menyerang semula. Bermakna, pokok-pokok karas perlulah disembur dengan racun organik setiap 2 minggu. Dan, ini merupakan satu keperluan dan aktiviti yang tentunya menjerihkan memandangkan hanya seorang sahaja yang mengendalikan keseluruhan projek. Apalagi di bulan Ramadhan yang bakal berkunjung.

Saya ada bertanyakan perihal ulat-ulat tersebut dengan Abang Nasri. Namun, menurut beliau tidak ada pula pokok-pokok karasnya yang diserang oleh ulat sedemikian. Sebaliknya, pokok-pokok karas beliau diserang oleh belalang.

Hmmm...apalah agaknya yang perlu dilakukan lagi. Sekiranya perhatian tidak diberikan, tentunya agak banyak juga kerugian yang perlu ditanggung sepanjang satu tahun projek berjalan. Fikir-fikirkanlah....


Wassalam.

.

Friday 29 July 2011

Marhaban Ya Ramadhan Kareem


Salam warahmatullah,

Ramadhan menjelang tiba, bersama watikah gembira, membawa cahaya keampunan beserta rahmat keimanan. Semoga Allah sinarkan hati-hati kita dengan ihsan-Nya dan renjiskan keikhlasan dalam ibadah kita dan keluarkan kita dari Ramadhan-Nya seumpama bulan yang bergemerlapan. Amin ya rabbal alamin.

Ampun dan maaf atas apa jua keterlanjuran dan kekhilafan.

Wassalam.

.

Wednesday 20 July 2011

Info-Info Penting Untuk Dikongsikan

Salam warahmatullah,

Saya baru terjumpa link-link berikut yang saya kira amat berfaedah untuk pengetahuan.

Link 1 - Ia menceritakan langkah demi langkah bagaimana untuk menyemai biji benih karas. Sila klik di sini.

Link 2 - Kaedah penyulingan minyak gaharu langkah demi langkah. Sila klik di sini.

Link 3 - Pelesenan dan kawalan gaharu. Sila klik di sini.

Wassalam.

.

Kemaskini - Serangan Ulat Pokok Karas

Salam warahmatullah,

Hari Ahad yang lalu, saya telah melawat tapak projek dan mendapati serangan ulat pokok karas telah berkurangan dengan banyaknya. Hanya ada 2 pokok yang masih diserang ulat. Maknanya, semburan racun serangga organik berjaya mencapai maksudnya.

Hasil dari observasi, saya rasa berkemungkinan ulat-ulat tersebut berpunca dari pokok-pokok pisang yang berada di sekitar tapak projek. Kenapa saya katakan begitu? Sebabnya, beberapa batang pokok yang ditanam oleh Landlord di bahagian hadapan tanah beliau tidak diserang walau sedikit pun kerana di bahagian tersebut tidak terdapat pokok pisang. Jika diteliti, ulat-ulat tersebut memang menyerupai ulat-ulat yang biasa ditemui di dalam daun pisang yang bergulung.

Apapun, yang lebih mengujakan adalah pucuk-pucuk baru yang sedang bertunas. Nampaknya, bagi pokok-pokok yang sudah besar sekitar 7-8 kaki tinggi, serangan ulat tersebut menjadikan pokok-pokok tersebut berlumba-lumba untuk mengeluarkan pucuk-pucuk baru. Alhamdulillah.

Wassalam.

.

Tuesday 5 July 2011

Ulat Pokok Karas

Salam warahmatullah,

Hari Ahad yang lalu, saya telah melakukan kerja-kerja menyembur racun organik bagi mengatasi masalah serangan ulat pokok karas. Ingin diingatkan di sini bahawa semburan racun kimia adalah tidak digalakkan.

Berikut adalah gambar-gambar ulat tersebut untuk rujukan.







Melalui observasi, ulat-ulat ini galak memakan daun pokok karas di waktu pagi. Dari itu, semburan di waktu pagi adalah digalakkan bagi menghentikan ulat-ulat tersebut dari memakan daun-daun pokok karas.

Hari Ahad lalu juga merupakan hari yang istimewa kerana Landlord telah sudi 'mencemar duli' melawat tapak projek dan melihat sendiri keadaan pokok-pokok yang diserang ulat.

Landlord sedang asyik melihat sebatang pokok karas yang diserang ulat.
Pada kebiasaannya, pokok karas yang diserang ulat-ulat ini akan habis keseluruhan daun-daunnya dimakan oleh ulat-ulat tersebut. Hanya tinggal batang dan ranting sahaja. Bagaimanapun, pada kebiasaannya juga daun-daun pokok karas ini akan tumbuh semula. Namun, terdapat juga kes di mana pokok yang diserang akan terus mati. Mungkin sebab pokok tersebut masih kecil. Agaknya...

Wallahuaklam.

Wassalam.

.

Monday 4 July 2011

Sejarah Telah Tercipta....

Salam warahmatullah,

Hari Sabtu lepas, Tuan Bakery telah pergi melihat pokok-pokok yang telah disuntik menggunakan inokulan ciptaan kami sendiri. ( Sila rujuk - http://lamankaras.blogspot.com/2011/05/hari-ini-dalam-sejarah.html )

Alhamdulillah, hasilnya amat memberangsangkan. Setelah 2 bulan disuntik, ketiga-tiga pokok telah menampakkan tanda-tanda penghasilan gaharu.

Sila lihat gambar-gambar yang disertakan. ( Maaf gambar kurang cantik kerana diambil menggunakan telefon-bimbit. )

Pokok ini disuntik dengan inokulan Y, teras gaharu berwarna coklat-kehitaman dan berbau harum.

Pokok ini disuntik dengan inokulan B, teras gaharu berwarna coklat-kehitaman dan berbau harum.

Pokok ini disuntik dengan inokulan NZ, teras gaharu berwarna coklat dan berbau harum.
Insyallah, ujikaji lanjutan akan dijalankan bagi memperbaiki mutu inokulan yang dihasilkan.

Wassalam.

.